Tiga ADUN pembangkang di Perak didakwa akan sokong kerajaan negeri

- Advertisement -

IPOH – Sekurang-kurangnya tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang didakwa akan memberikan sokongan kepada kerajaan Perak.

Perkara itu didedahkan Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang memaklumkan dua daripada ADUN berkenaan telah menemuinya.

Menurutnya, pertemuan dengan wakil rakyat pembangkang tersebut berlaku di Ipoh pada bulan lalu dan bulan ini.

“Mereka berhasrat nak bantu rakyat dengan mengukuhkan kerajaan negeri Perak ini dengan menyokong kepimpinan.

“Mereka ini juga akan kekal berada dalam parti masing-masing dan tidak menyeberang (duduk di blok kerajaan) tapi lebih kepada menyokong kepimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin.

Muhamad Arafat berkata, alasan diberikan ADUN pembangkang itu disebabkan mereka yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat pusat dan Saarani di peringkat negeri.

Jelas ADUN Hulu Kinta itu, wakil rakyat pembangkang berkenaan juga gembira melihat kestabilan politik yang berlaku di Perak.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan butiran ADUN berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Razman Zakaria dalam satu sidang akhbar berasingan menafikan perkara tersebut dan menganggap kenyataan Muhamad Arafat itu sebagai provokasi.

“Kita tidak ada apa-apa maklumat (ADUN pembangkang mahu menyokong kerajaan) dan kalau ada pun daripada pembangkang yang hendak menyokong kerajaan, dia tidak memberi apa-apa perubahan.

“Kita tidak melayan provokasi politik murahan macam ini, tidak ada kepentingan untuk negara, kita tak layanlah. Cuba dia namakan siapa yang didakwa itu dan kita di pihak pembangkang masih kukuh,” katanya.

Razman berkata, ADUN pembangkang lebih memberi keutamaan kepada isu-isu rakyat kerana Perak mempunyai undang-undang yang mengawal ADUN-ADUN ini. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat