KOTA KINABALU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka dibubarkan minggu depan dengan pengumuman rasmi kemungkinan dibuat seawal Isnin ini, lapor akhbar The Star.
Menurut laporan itu, para menteri negeri dilaporkan sudah berbalas ucapan selamat tinggal serta bergambar selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu, seolah-olah bersedia menghadapi pembubaran.
Ramai menjangkakan pengumuman rasmi dibuat pada Khamis, namun ia tertangguh dipercayai ekoran keputusan dua parti komponen – Parti Solidariti Tanah Airku (Sabah STAR) yang dipimpin Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Parti Maju Sabah (SAPP) – meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sumber politik kanan The Star memberitahubahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dijangka akan membuat pengumuman rasmi pada Isnin selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman. Langkah itu sekaligus membuka jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Kekaburan undang-undang jadi faktor
Hajiji, yang mengetuai kerajaan campuran GRS–Pakatan Harapan, dijangka tidak dapat menangguhkan lagi pembubaran berikutan wujud kekaburan undang-undang berhubung tarikh sebenar pembubaran automatik DUN.
Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim Yahya sebelum ini menjelaskan penggal lima tahun DUN akan tamat pada 11 November 2025 kerana persidangan pertama DUN ke-16 dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri pada 12 November 2020.
Namun, selepas pilihan raya mengejut 26 September 2020, satu persidangan khas telah diadakan pada 9 Oktober 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.
Kadzim menegaskan ketika itu bahawa sidang 9 Oktober hanya untuk upacara angkat sumpah ADUN baharu dan tidak dikira sebagai persidangan pertama.
Namun menurut laporan The Star, tafsiran perlembagaan negeri tidak jelas kerana hanya menyebut bahawa “DUN, melainkan dibubarkan lebih awal, akan berterusan selama lima tahun dari tarikh persidangan pertamanya dan kemudiannya terbubar.”
Keadaan ini menimbulkan kekeliruan mengenai tarikh sebenar tamat tempoh DUN, dan dipercayai menjadi salah satu pendorong Hajiji mahu mengumumkan pembubaran lebih awal bagi mengelakkan cabaran undang-undang.
Dinamika politik Sabah
Pejabat media Ketua Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sidang media berhubung pembubaran akan diadakan “pada waktu yang sesuai”.
Sabah telah menyaksikan landskap politik yang sering berubah sejak PRN 2020. Pada ketika itu, gabungan longgar antara Perikatan Nasional Sabah pimpinan Hajiji, Barisan Nasional Sabah diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya menumbangkan kerajaan Warisan–Pakatan Harapan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Keputusan PRN itu menyaksikan Barisan Nasional memenangi 14 kerusi, Perikatan Nasional 17 kerusi (Bersatu 11 dan Sabah STAR enam), PBS tujuh, manakala tiga calon bebas turut menyertai gabungan tersebut. Secara keseluruhan, gabungan ini memperoleh 41 daripada 73 kerusi DUN.
Warisan pula memenangi 23 kerusi, manakala sekutunya, Sabah Pakatan Harapan, memperoleh sembilan kerusi. Gabungan Rakyat Sabah kemudiannya didaftarkan secara rasmi pada awal tahun 2022.
Namun selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022, Hajiji bersama semua ADUN Bersatu meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Tidak lama kemudian, pada Januari 2023, Barisan Nasional Sabah menarik balik sokongan terhadap Hajiji, namun kerajaan negeri kekal apabila Sabah Pakatan Harapan tampil menyokong GRS.



