Oleh Zihan Zari
BATU PAHAT – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) komited meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui inisiatif Program Kampung Angkat MADANI (KAM).
Ketua Pengarahnya, Julina Johan berkata
KAM merupakan satu platform kolaborasi yang menggabungkan kepakaran, ilmu dan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti demi manfaat bersama.
KAM adalah inisiatif kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, bagi memacu pembangunan sosioekonomi komuniti di kampung yang dipilih, melalui projek fizikal dan pembangunan infrastruktur asas.
Beliau berkata demikian pada Program Kampung Angkat MADANI dan Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Medan, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Kanan (Pengurusan) JAPEN, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin; Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi & Pembangunan Masyarakat JAPEN, Muhammad Najmi Mustapha; Pengetua SMK Seri Medan, Hj. Masrom Rahmat; dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Musa Atan.
Menurut Julina, projek pemasangan heli fan bernilai RM44 ribu di SMK Seri Medan telah memberi keselesaan kepada pelajar dan guru, manakala projek naik taraf makmal komputer bernilai lebih RM250 ribu juga telah selesai bagi memberi ruang lebih kondusif untuk pembelajaran digital.
Katanya, JAPEN terus komited untuk mempertingkat kesejahteraan dan manfaat kepada komuniti setempat melalui projek tambahan blok baharu Masjid Pekan Sri Medan bernilai hampir RM500 ribu juga sedang dilaksanakan.
“Keseimbangan pembangunan merupakan asas kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara dan setiap projek KAM bukan sahaja sekadar membina kemudahan, tetapi membina masa depan yang gemilang, ”katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan, aliterasi digital bukan sekadar tahu menggunakan gajet, tetapi tahu membezakan maklumat yang mana benar dan palsu.
Ujarnya, setiap kali menerima maklumat, jangan terus percaya jangan terus sebar jika belum dipastikan kesahihannya. Tapis dengan akal dan nilai. Jangan jadi penyebar fitnah tetapi jadilah penyampai ilmu.
Dalam pada itu, Julina berkata, Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku merupakan platform kreatif yang menggabungkan elemen hiburan, pendidikan dan patriotisme.
Ia disusun dengan pendekatan mini karnival agar lebih segar, dekat di hati generasi muda dan memberi pengalaman pembelajaran di luar kelas.
Tambahnya, inisiatif Kelab Malaysiaku diusahakan untuk membina semangat kenegaraan dalam kalangan pelajar.
“Melalui kelab ini, pelajar bukan sahaja diasuh mencintai tanah air malah dipupuk dengan nilai hormat-menghormati, toleransi, dan semangat perpaduan. Nilai-nilai ini adalah tunjang kepada kekuatan negara bangsa kita, tambahnya lagi.
Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku (Edisi Khas) yang menggabungkan pelbagai pengisian menarik, antaranya Mini Karnival Pendidikan, Mini Skillbox, Road to Varsity, BAKTI@Komuniti MADANI dan Kenduri Rakyat MADANI.
Program ini telah mendapat sambutan meriah dengan kehadiran lebih 1,500 pengunjung termasuk pelajar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Komuniti MADANI Batu Pahat, jabatan serta agensi kerajaan.-SUARA.TV



