Bantuan anak-anak mangsa Covid-19 dinaikkan hingga RM3,000 setahun – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) mengumumkan peningkatan ketara jumlah bantuan kebajikan kepada anak-anak yatim dan yatim piatu akibat COVID-19 dengan memperkenalkan kaedah pembayaran baharu secara bulanan bermula tahun ini.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perubahan itu dibuat bagi memastikan kebajikan pendidikan dan kesejahteraan hampir 1,000 anak-anak di bawah jagaan yayasan berkenaan lebih terjamin.

“Bantuan kini disalurkan setiap bulan, berbanding tiga kali setahun sebelum ini.

Peningkatan ini bermakna jumlah keseluruhan bantuan melonjak daripada RM400 kepada RM2,400 setahun bagi Kategori A, dan daripada RM500 kepada RM3,000 setahun bagi Kategori B,” jelasnya pada majlis pelancaran Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2025 di sini hari ini.

Sebelum ini, kanak-kanak berusia di bawah 16 tahun hanya menerima RM2,000 setahun, manakala remaja berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama memperoleh RM2,500 setahun.

Komitmen Dana RM5 Juta Setahun
Ismail Sabri mengakui peningkatan bantuan itu menuntut dana tambahan kira-kira RM5 juta setahun, namun menegaskan YKM kekal komited untuk mencari sumber kewangan baharu agar tiada anak-anak terpinggir.

“YKM adalah satu-satunya yayasan di dunia yang menjaga nasib anak-anak yatim akibat COVID-19 secara konsisten, termasuk bantuan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun atau tamat pengajian ijazah sarjana muda yang pertama,” katanya.

Beliau turut menyerahkan Bantuan Menara Gading kepada anak-anak YKM yang berjaya melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi sebagai sebahagian daripada sokongan pendidikan berterusan.

Larian Keluarga Malaysia 2025

Dalam majlis sama, YKM turut melancarkan Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2025, yang bertujuan mengumpul dana bagi menampung program bantuan tersebut.

Acara tahunan itu memasuki edisi kedua selepas penganjuran sulungnya di Cyberjaya tahun lalu.

LKM 2025 akan berlangsung pada 15 November di Padang Merbok, Kuala Lumpur dengan tema “Berlari sambil menyumbang”.

Ia menawarkan tiga kategori larian iaitu 10km Road Race (RM70), 5km Fun Run (RM50) dan 3km Family Run (RM40). Harga istimewa ‘early bird’ ditawarkan sehingga 7 Oktober dengan tambahan diskaun 10 peratus menggunakan kod khas.

Acara kali ini juga mengekalkan Khairy Jamaluddin sebagai Duta LKM dan turut disokong oleh selebriti Amelia Henderson.

Antara tarikan utama ialah cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah kereta Perodua Axia, selain motosikal Honda RS-X dan skuter elektrik Felo M One.

Harapan Sokongan Korporat

Ismail Sabri turut menzahirkan penghargaan kepada penaja utama termasuk Kerajaan, CGS International Securities dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), serta menyeru lebih banyak pihak korporat dan individu tampil menyumbang.

“Setiap sumbangan kepada YKM akan mendapat pengecualian cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kita mahu memastikan matlamat membantu anak-anak ini terus terlaksana,” katanya.

Beliau menegaskan, YKM bukan sekadar menyalurkan bantuan tetapi juga mendidik penerima menjadi generasi pelapis dengan penubuhan Sukarelawan YKM yang melibatkan mahasiswa untuk membimbing rakan sebaya serta adik-adik mereka.-Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat