Elaun perumahan DPR RM13,000 dibatal, lawatan kerja luar negara tidak dibenar sementara waktu

JAKARTA – Elaun perumahan bagi setiap ahli DPR sebanyak 50 juta rupiah (RM13,000) dibatalkan berkuat kuasa mulai 31 Ogos lalu, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Sufmi Dasco Ahmad.

Keputusan itu dibuat susulan protes rakyat yang meluas serta kejadian huru-hara di beberapa kawasan yang turut mengakibatkan kehilangan nyawa minggu lalu.

“Kami sudah berkoordinasi dengan semua pimpinan DPR baru-baru ini dan sudah menyampaikan langkah yang sudah dan akan dilaksanakan.

“Pertama, penilaian menyeluruh terhadap semua elaun ahli DPR, khususnya elaun perumahan yang dihentikan berkuat kuasa 31 Ogos lalu,” kata Sufmi ketika menerima kehadiran mahasiswa di Kompleks Parlimen, Senayan, Jakarta, semalam.

Selain itu, Sufmi menegaskan bahawa ahli DPR kini tidak dibenarkan melakukan lawatan kerja ke luar negara buat sementara waktu.

Langkah itu selaras dengan arahan Presiden Prabowo Subianto mengenai moratorium lawatan yang tidak perlu.

“Moratorium terhadap lawatan kerja luar negara bagi ahli DPR akan dilaksanakan, termasuk langkah penjimatan dalam setiap lawatan rasmi ke luar negara,” lapor Agensi.

Protes di seluruh Indonesia sejak minggu lepas dicetuskan oleh kemarahan rakyat terhadap cadangan elaun perumahan anggota parlimen bulanan sebanyak Rp50 juta (RM12,800) berlebihan ketika peningkatan kos sara hidup rakyat meningkat dan ekonomi yang lemah.

DPR juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Affan Kurniawan dan semua mangsa insiden semasa demonstrasi baru-baru ini.

“Sebagai pimpinan DPR, kami memohon maaf atas kekhilafan dan kelemahan kami dalam menjalankan tugas mewakili aspirasi rakyat, yang selama ini menjadi tanggungjawab kami,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa reformasi DPR akan diterajui secara langsung oleh Ketua DPR, Puan Maharani, bertujuan mewujudkan institusi perundangan yang lebih telus, efisien dan bertanggungjawab.

Selain itu, Sufmi berkata, kerajaan akan bertemu dengan wakil daripada pelbagai pertubuhan pelajar untuk mendengar tuntutan dan cadangan mereka, hari ini.

“Kami baru sahaja bercakap melalui WhatsApp dengan kerajaan. Anda akan diterima oleh kerajaan pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata, tuntutan pelbagai kumpulan pelajar itu perlu disampaikan terus kepada kerajaan memandangkan kerajaan dan DPR perlu berkoordinasi bagi menangani beberapa isu.

Katanya, tuntutan pelajar itu memerlukan kerjasama berkenaan termasuk penubuhan pasukan penyiasat berhubung dakwaan pengkhianatan dan tuntutan untuk menyegerakan Rang Undang-Undang (RUU) Perampasan Aset.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat