KUALA LUMPUR – 200 sekolah berasrama yang dikenal pasti akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dalam masa terdekat membabitkan kos RM3 juta.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata, ia sebagai langkah meningkatkan aspek keselamatan dalam kalangan pelajar.
“Apabila berlaku beberapa kes kemalangan di asrama, Kementerian Pendidikan sejak dulu sentiasa memberi perhatian dengan meningkatkan kualiti keselamatan di sekolah dan asrama.
“Pemilihan untuk pemasangan CCTV ini berdasarkan faktor seperti jumlah pelajar yang ramai. Ia akan dipasang segera selepas mendapat khidmat nasihat daripada pakar berkaitan lokasi sesuai untuk ia diletakkan,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Kali Ke-63, di Kelantan, lapor Harian Metro pada Khamis.
Mengulas lanjut, pemasangan CCTV itu tidak boleh dibuat sesuka hati kerana perlu mematuhi akta tertentu memandangkan lokasi pemasangan membabitkan asrama pelajar.
“Kerana itu kita perlukan nasihat pakar,” katanya.



