Farhash gagal dapat perintah injuksi halang MalaysiaNow terbit laporan skandal lombong Sabah

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak hari ini gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menghalang portal berita MalaysiaNow daripada menerbitkan laporan berkaitan skandal perlombongan di Sabah.

Hakim Noor Hayati Haji Mat memutuskan bahawa tidak ada keperluan untuk memberikan perintah injunksi sementara itu sementara menunggu penyelesaian kes saman fitnah yang difailkan Farhash, Bumi Suria Sdn Bhd dan ahli perniagaan Datuk Mohd Aminudin Mustaph.

Peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili portal berita berkenaan dan editornya, Abd Ar-Rahman Koya mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan bahawa mahkamah turut menganugerahkan kos sebanyak RM5,000 kepada defendan.

Menurut peguam itu, hakim menyatakan bahawa bukan tugas mahkamah untuk menentukan sama ada kenyataan yang dipertikaikan itu bersifat fitnah pada peringkat awal ini.

“Mahkamah menyatakan bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh pihak defendan tidak terbukti palsu dan oleh itu tidak ada keperluan untuk injunksi interim. Sehubungan itu, mahkamah memutuskan bahawa tidak perlu untuk mengeluarkan injunksi interim,” kata Rajesh dalam satu kenyataan.

Farhash, selaku plaintif kedua, bersama plaintif-plaintif lain telah memohon injunksi sementara bagi menghalang portal berita terbabit, ejen atau wakil mereka daripada menerbitkan sebarang kenyataan lanjut yang didakwa berunsur fitnah sehingga kes writ diselesaikan sepenuhnya.

Permohonan berkenaan sebagai sebahagian daripada saman fitnah bernilai RM10 juta yang difailkan terhadap defendan-defendan pada 30 Jun.

Menurut dokumen mahkamah, plaintif mendakwa laporan MalaysiaNow adalah berunsur fitnah kerana mendakwa plaintif kedua dan ketiga telah menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan lesen secara tidak sah, terbabit dalam rasuah serta amalan tidak beretika dan telah menjejaskan reputasi mereka sebagai ahli perniagaan serta tokoh masyarakat, lapor BH di Shah Alam.

Plaintif turut mendakwa artikel berkenaan tidak berasas, diterbitkan tanpa pengesahan dan dengan niat jahat sehingga menimbulkan tanggapan bahawa mereka adalah individu yang korup, tidak jujur dan tidak berprinsip.

Plaintif menuntut RM10 juta, termasuk ganti rugi teruk, teladan dan punitif, selain memohon perintah mahkamah agar defendan memadam artikel-artikel terbabit daripada laman web mereka serta mengeluarkan permohonan maaf secara penuh dan tanpa syarat kepada umum.

Pada 21 Julai lalu, Farhash menafikan pembabitan beliau selepas laporan MalaysiaNow mendakwa syarikat miliknya telah memperoleh lesen penerokaan mineral di Sabah daripada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), menyifatkan artikel itu yang mendakwa beliau memiliki Bumi Suria Sdn Bhd yang memperoleh lesen daripada agensi kerajaan Sabah, sebagai ‘palsu dan berunsur fitnah’.

Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan dan berkata syarikat berkaitan kerajaan itu tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan atau menganugerahkan lesen sedemikian.

Sejak tahun lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan beberapa menteri Kabinet negeri berulang kali menyatakan bahawa kerajaan negeri belum mengeluarkan sebarang lesen kepada mana-mana pihak.

Hajiji juga berkata, dalam hal pemberian lesen perlombongan, kerajaan negeri akan membincangkan perkara seperti ekuiti, royalti, bayaran dan pajakan dalam mesyuarat Kabinet sebelum membuat keputusan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat