KUALA LUMPUR, – Bekas penasihat dasar kepada Datuk Seri Najib Razak, Isham Jalil, tampil menyanggah dakwaan yang mengaitkan beliau dengan rundingan pembelian 25 pesawat Boeing semasa lawatan Najib ke Amerika Syarikat pada 2017, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah dan bukti kejahilan penyokong Pakatan Harapan (PH).
Dalam kenyataan sinis yang dimuat naik di media sosial, Isham berkata beliau tidak terlibat langsung dalam sebarang perbincangan atau rundingan berkaitan pembelian Boeing, malah tidak pun menyertai rombongan rasmi ke Amerika ketika itu.
“Saya tidak terlibat langsung dengan rundingan perolehan Boeing dan saya tidak ada pun dalam rombongan ke Amerika tersebut,” tegasnya.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan ketika itu tidak membeli pun 25 pesawat tersebut, sebaliknya hanya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang tidak mengikat. Tambahnya, Malaysia Airlines (MAS) menyewa 16 buah pesawat melalui syarikat antarabangsa dengan terma fleksibel mengikut pasaran.
“CEO Malaysia Airlines sendiri sahkan perkara ini. Tapi puak PH terus sebarkan fitnah macam tiada fakta pun mereka kisah,” katanya.
Isham menyifatkan tindakan penyokong PH dan apa yang digelarnya “geng walanon 20 sen” sebagai satu peluang untuk mengambil tindakan undang-undang dan mengaut pampasan.
“Saya suka bila mereka buat kerja begini. Saya berpeluang saman dan buat duit berjuta. Bila menang saman nanti saya akan beli motor,” katanya berseloroh.
Lebih pedas, Isham membandingkan tindakan pentadbiran Najib dengan kerajaan Madani sekarang yang menurutnya jauh lebih membebankan apabila membeli terus 80 buah kapal terbang melalui Malaysia Aviation Group (MAG) dengan hutang melebihi RM100 bilion.
“Jumlah fleet sedia ada MAS sekitar 80 biji, kamu nak beli sekali ganda lagi dengan keuntungan merosot ke RM54 juta? Ini bukan pelaburan, ini perjudian,” bidasnya.
Beliau turut mempersoalkan kebijaksanaan kerajaan mengambil risiko besar dalam sektor penerbangan yang menurutnya berisiko tinggi dan tidak stabil.
“Jika pelaburan ini lingkup, rakyat juga yang kena tanggung hutang beratus bilion,” katanya.
Kenyataan Isham ini menjadi tular di media sosial dan mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penyokong parti politik, dengan ramai mempersoalkan ketelusan keputusan kerajaan dalam urusan pembelian aset besar negara.



