17 individu disyaki pengikut ajaran sesat Milah Abraham ditahan

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Tujuh belas individu disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan dalam operasi bersepadu di empat daerah sekitar negeri ini Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled, berkata semua 17 individu itu ditahan dalam operasi serentak dijalankan di Batu Pahat, Pontian, Muar dan Segamat.

Katanya, operasi khas dinamakan Ops Milab itu membabitkan kerjasama Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Cawangan Khas Bukit Aman dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru.

“Ops Milab dilaksanakan di empat daerah secara serentak Khamis lalu bagi membanteras penyebaran ajaran dan fahaman Millah Abraham.

“Ajaran Millah Abraham difatwakan sesat di Johor pada 30 Julai 2015 dan diwartakan pada 28 April 2016, sebagai ajaran dan fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Hasil operasi bersepadu berkenaan, 17 individu ditahan kerana disyaki pengikut kepada ajaran ini, dengan sebutan kes di mahkamah ditetapkan Selasa ini,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Pada 17 Julai lalu, JAINJ dilaporkan mengesahkan menerima laporan polis berkaitan ajaran sesat Millah Abraham, di negeri ini.

Mohd Fared dilaporkan berkata, pihaknya turut mendapat taklimat daripada Cawangan Khas Bukit Aman berhubung ajaran itu.

“Kita sudah tahu pergerakan mereka dan kita juga ambil maklum mereka cuba memasuki negeri ini. Tetapi yakinlah kepada kepimpinan di bawah portfolio agama dengan seluruh kekuatan JAINJ,” kata Mohd Fared ketika itu.

Bulan lalu, tiga beranak dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham dilaporkan ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam serbuan di dua rumah berasingan di Sungai Kelamah di Gemas dan Palong 3 di Jempol.

Ajaran sesat berkenaan difatwakan haram pada 2019 oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Antara fahaman salah ajaran ini ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan ada syahadah berbeza.

Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman mereka tanpa berdasarkan kitab tafsir.

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, kerajaan negeri memberi amaran dan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras dan mengekang sebarang penyebaran ajaran sesat berpandukan enakmen dan perundangan yang berkuat kuasa.

“Orang ramai hendaklah tidak terpengaruh terhadap fahaman dan ajaran yang menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, bahkan hendaklah segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang ajaran yang mencurigakan,” katanya. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat