Magis kolaborasi pertama kali

- Advertisement -

Benzooloo dan Khodi datang dari genre serta latar belakang berbeza.

Benzooloo adalah komposer dan penyanyi rap yang dipuja dengan corak karya berlirik lantang, namun unik. Khodi pula kian memikat ramai dengan kelunakan suara nyanyiannya.

Menggabungkan mereka pertama kali menerusi lagu Emosi, ternyata satu kombinasi menarik.

Lebih mengujakan, Benzooloo dan Khodi memiliki akar muzikal yang begitu kuat untuk genre masing-masing, sekali gus menjadikan kerjasama mereka menerusi lagu ciptaan Farouk Roman ini ada magnet tersendiri.

Walaupun judul itu sendiri terlalu besar takrifannya, Emosi menggambarkan realiti zaman sekarang yang tewas dengan nafsu mengejar kekayaan. Tanpa mempedulikan hukum dan kebenaran, manusia rakus turutkan ketamakan itu.

Bahkan, ada yang sanggup melakukan apa saja sehingga sesat dan tiada arah tujuan.

Mengakui kerjasama menghasilkan Emosi sangat istimewa, Benzooloo berkata, tarikan utama Emosi terletak pada mesej yang disampaikan.

Demikian juga rentak muziknya yang sebenarnya cukup asing, namun berjaya disempurnakan dengan berganding bahu bersama Farouk.

“Lagu ini berkenaan sifat manusia yang boleh berubah sekelip mata apabila melihat wang atau harta di depan mata di mana kita selalu lihat berlaku. Paling saya suka mengenai Emosi adalah rentaknya.

“Ini kerana ia pertama kali saya hasilkan rentak sebegini dan pengalaman pertama bekerja dengan Farouk. Kalau ditanya bahagian mana dari segi liriknya, saya paling suka bait ‘ini semua duniawi, kau macam ikan kecil terjun ke dalam tsunami’,” katanya.

Benzooloo berkata, bahagian paling mencabar adalah mencari aliran lirik untuk lagu itu. Disebabkan pertama kali, dia ambil masa lama untuk dengar berkali-kali bagi mendapatkan emosi tepat dalam lagu terbabit.

 

KHODI memiliki kelunakan suara yang menarik.
KHODI memiliki kelunakan suara yang menarik.

 

“Apa yang saya cuma harapkan adalah orang senang terima dan boleh layan lagu ini. Kalau ada kekurangan, saya akan cuba perbaiki dalam percubaan lagu seterusnya. Sejujurnya saya tidak sasarkan lagu ini kepada golongan tertentu, tapi kalau ada di luar sana yang minat dengan penulisan mendalam, mungkin mereka boleh layan,” katanya.

Khodi pula cukup beruntung kerana sejak mula keluarkan lagu seperti Ke Mana, Lenggang dan Dia Bagiku, dia sentiasa tampil dengan genre baharu. Rata-rata genre yang dipertaruhkan juga cukup sesuai dengan kemampuan vokalnya, sekali gus membuktikan Khodi penyanyi serba boleh.

Demikian juga dalam lagu Emosi ini yang baginya agak asing. Tidak ketinggalan, dia semestinya bersyukur dapat peluang bekerjasama dengan Benzooloo buat julung kalinya.

Dia yakin gabungan mereka mampu mencetuskan magis tertentu khususnya bagi pendengar generasi alaf baharu. Tambahan pula, melodi lagu Emosi ini juga begitu mesra dengan halwa telinga terkini pendengar.

“Saya paling tertarik dengan lirik Emosi dan genre ini sangat berbeza dengan lagu saya sebelum ini. Bahagian rap Benzooloo juga menjadi bahagian yang paling saya suka dan teruja apabila digabungkan pertama kali dengannya.

“Proses rakamannya mencabar kerana genre ini terlalu baharu. Saya paling berusaha menyampaikan emosi sebaiknya dalam lagu ini. Selain teruja kerana lagu ini memperlihatkan sisi berbeza saya, harapnya penyampaian saya juga berjaya serta mampu menyentuh hati pendengar kelak.

“Sejujurnya, saya rasa lagu ini sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat sebenarnya kerana ia menceritakan mengenai realiti kehidupan sekarang,” katanya.

Lagu Emosi yang turut mendapat sentuhan lirik oleh Aisha Retno ini adalah lagu penutup untuk drama arahan Norhanisham Muhammad yang berjudul Scammer.

Ditayangkan di Astro Ria, jam 11 malam, bermula 24 Mei lalu, drama berkenaan dibintangi pelakon hebat termasuk Kamal Adli, Siti Saleha dan Fasha Sandha.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat