Ops Bersepadu Khazanah catat rekod sitaan cecah RM398.6 juta, 1,198 individu ditahan

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah melaksanakan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dari tahun 2019 hingga 2025, dan sebanyak 834 kertas siasatan telah dibuka dengan tangkapan seramai 1,198 individu, terdiri daripada 904 warganegara Malaysia serta 294 warga asing.

PERHILITAN dalam kenyataan berkata sebanyak 2,838 jerat hidupan liar serta 874 tapak khemah haram telah dimusnahkan, dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan mencecah RM398.6 juta.

“OBK telah dilaksanakan sejak September 2019 yang merupakan inisiatif strategik Kerajaan Malaysia dalam membanteras jenayah berkaitan pencerobohan hutan, pembalakan haram, kecurian hasil hutan negara serta pemburuan hidupan liar.

“Pelaksanaan operasi ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] serta undang-undang berkaitan yang lain, ”kata kenyataan itu.

“Penghargaan juga dirakam kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan operasi bersepadu yang berjaya menumpaskan sindiket pemburuan hidupan liar terbesar melibatkan warga Vietnam pada tahun 2023.

“Susulan kes tersebut, Mahkamah Sesyen Kuantan pada 19 Februari lalu telah menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM128.9 juta serta penjara selama lapan tahun enam bulan di bawah Akta 716, yang merupakan antara hukuman paling berat pernah dikenakan di bawah akta berkenaan, ”kata kenyataan itu.

Katanya, OBK melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa dan rakan strategik, termasuk PERHILITAN, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) , Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Hidupan Liar Sabah
(JHL) , Sarawak Forestry Corporation (SFC), dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Selain itu, agensi taman negeri seperti Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk), Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) , Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN), dan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP).

Turut terlibat, rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Wildlife Conservation Society (WCS), Panthera Wild Cat Conservation Malaysia (Panthera), Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (Pelindung), My Conservation Collective (MyCC), World Wide Fund for Nature (WWF) dan TRAFFIC Southeast Asia (TRAFFIC).

Selain itu juga, penyertaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sebagai ahli baharu turut memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk dan sempadan negara.

“Pada 4 April lalu, PERHILITAN sekali lagi berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan melibatkan warga Vietnam serta merampas bahagian dan organ hidupan liar termasuk harimau, hempedu beruang, ular sawa dan primat yang dianggarkan bernilai RM36.8 juta.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh penguatkuasaan serta membanteras rangkaian jenayah hidupan liar yang bersifat terancang, ”katanya lagi.

“SFC dan PDRM juga berjaya mematahkan cubaan penyeludupan pada Januari lalu melibatkan 10 kontena rotan bernilai RM2.5 juta yang dipercayai dibawa masuk dari Kalimantan untuk dieksport ke luar negara.

“Kejayaan ini membuktikan keberkesanan risikan serta tindakan bersepadu dalam menangani jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.

“Penghargaan turut dizahirkan kepada JKDM atas kejayaan mematahkan cubaan penyeludupan sirip yu pada Februari dan Mac lalu, melibatkan rampasan dianggarkan bernilai RM6.5 juta berikutan kesalahan ikrar palsu serta pengimportan tanpa permit sah,”ujarnya.

“Kejayaan ini memperlihatkan kecekapan penguatkuasaan di pintu masuk negara serta komitmen berterusan dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan perdagangan antarabangsa berkaitan spesies terancam.

“Kesemua kejayaan ini merupakan hasil komitmen tinggi serta kerjasama erat antara semua agensi yang terlibat.

“Pendekatan bersepadu ini diyakini mampu memberikan impak signifikan serta menghantar mesej jelas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah yang mengancam khazanah negara,”ujarnya lagi.

Tegasnya, kerajaan memandang serius aktiviti pemburuan haram hidupan liar dan pencerobohan kawasan perlindungan, dan tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat selaras dengan peruntukan undang- undang yang berkuat kuasa.

“PERHILITAN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan komited untuk terus memperkukuh usaha dalam memastikan kelestarian khazanah negara untuk generasi akan datang, ”tambahnya.

Tambahnya lagi, orang awam digesa untuk bersama-sama memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah hidupan liar dan sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi www.wildlife.gov.my
– SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat