Pengeluar sarung tangan perlu alih fokus kepada industri bukan perubatan – Zuraida

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengeluar sarung tangan kini patut mengalihkan fokus mereka kepada pemain industri bukan perubatan dan menjadikan mereka sebagai pelanggan bagi memastikan industri itu kekal lumayan dan terus berkembang daripada menumpukan kepada sektor penjagaan kesihatan semata-mata, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata pemain perlu menjadi kreatif untuk meneroka cara dan kaedah baharu untuk menjadikan industri sarung tangan berkembang semula dan mencatatkan keuntungan walaupun bukan pada kadar apabila permintaan melonjak naik dan harga jualan purata mencapai paras rekod tertinggi.

Selain itu, katanya, wabak tersebut telah mencetuskan kesedaran tentang kepentingan kebersihan untuk mencegah pencemaran atau membendung penularan penyakit.

“Lagipun, sarung tangan pakai buang yang bergred bukan perubatan terdapat dalam pelbagai saiz, warna, ketebalan dan tekstur. Ia juga digunakan dalam pelbagai perniagaan seperti dalam perniagaan tatu, makmal dan pusat jagaan kanak-kanak.

“Walaupun industri minuman dan makanan merupakan pengguna sarung tangan dengan permintaan yang terhad, tempoh lapan hingga 10 tahun yang lalu ini telah menyaksikan peningkatan tahap kesedaran dengan pemain industri dan pengguna sama-sama menyedari hakikat bahawa pengendalian makanan berkisar pada tahap kebersihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida berkata sarung tangan juga digunakan dalam industri elektronik semikonduktor untuk melindungi komponen elektrik atau elektronik daripada pencemaran.

“Baru-baru ini, saya juga telah melawat 10 negara termasuk Mesir, Qatar, Pakistan dan Turki untuk mempromosikan komoditi negara dan membuka pasaran baharu dan semasa lawatan ini, beberapa memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani dan saya juga mengambil kesempatan untuk menepis beberapa dakwaan terhadap komoditi negara dan memberi fakta yang betul,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan kementerian tersebut akan melakukan segala yang mampu untuk membantu pengeluar tempatan mendapatkan pasaran baharu dan melebarkan sayap mereka kepada sektor bukan perubatan.

“Kami sentiasa bekerjasama rapat dengan pemain industri tempatan dan kerjasama ini akan memastikan industri sarung tangan getah tempatan negara akan terus berkembang maju,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, langkah Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) untuk memanfaatkan industri bukan perubatan sebagai pemacu permintaan masa depan bagi sarung tangan gred bukan perubatan adalah tepat.

“Telah diketahui ramai bahawa harga saham sarung tangan di Bursa Malaysia telah merosot dengan ketara sejak pertengahan tahun lalu.

“Walaupun ia menyakitkan, kita harus menerima hakikat bahawa tempoh kemuncak semasa pandemik COVID-19 pada tahun 2020 yang telah mendorong pertumbuhan pesat industri ini dengan pemain baharu mungkin tidak berulang lagi terutamanya apabila dunia beransur-ansur beralih ke fasa endemik,” katanya.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,601FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat