Malaysia Berjaya Melepasi Kesemua Sasaran Bagi Penyertaan Di Ekspo 2020 Dubai

PUTRAJAYA – Penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai telah melabuhkan tirai dengan jayanya pada 31 Mac 2022.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku kementerian peneraju dengan kerjasama agensi pelaksana, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) telah mencapai kesemua sasaran yang telah ditetapkan dengan cemerlang.

Kejayaan ini juga turut disumbangkan bersama oleh 21 Kementerian, 70 Agensi Kerajaan, 5 Kerajaan Negeri serta 490 syarikat swasta daripada 10 bidang strategik negara yang telah menyertai program mingguan di Pavilion Malaysia.

YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata, “Bagi penyertaan di ekspo, Kerajaan telah menetapkan sasaran, antaranya untuk mencapai antara RM8 bilion hingga RM10 bilion bagi potensi peluang perdagangan dan pelaburan sepanjang enam bulan ekspo.”

Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pada 30 Mac 2022 semasa menghadiri Majlis Penutup 2 Pavilion Malaysia, penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai selama enam bulan telah berjaya menjana RM70 bilion.

“Pencapaian Ini membuktikan ekosistem pengkomersialan hasil R&D negara kekal relevan dan pembangunan industri R&D tempatan yang mampan serta berdaya saing seiring dengan keperluan teknologi dan aspirasi Malaysia ke arah Negara Berteknologi Tinggi (High-Tech Nation) menjelang 2030,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Selain pencapaian dari segi ekonomi, Malaysia juga telah berjaya mengadakan program bertaraf antarabangsa sepanjang penyertaan tersebut.

Pavilion Malaysia telah menerima kunjungan lebih daripada 1 juta orang, selain turut menerima kunjungan 151 delegasi tertinggi dari negara/organisasi antarabangsa yang menyertai Ekspo 2020 Dubai.

Sepanjang berlangsungnya Ekspo 2020 Dubai, pelbagai program kolaborasi berbentuk wacana minda oleh pakar tempatan dan perkongsian kebudayaan dan kraf telah diadakan dengan negara lain.

Penganjuran program-program sebegini telah mengetengahkan kekuatan negara dalam pebagai bidang sekali gus berjaya menarik pengunjung antarabangsa untuk mengenali kebudayaan serta kraf kebangsaan Malaysia.

“Bagi pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah terlibat merangkumi Kementerian, Kerajaan Negeri, Agensi, penaja, syarikat swasta, agensi pelaksana dan semua yang telah merealisasikan matlamat penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dunia dengan jayanya,” katanya lagi.

3 Pavilion Malaysia juga telah disenaraikan sebagai salah satu antara lima pavilion paling hijau dan merupakan antara tujuh pavilion paling digemari di Ekspo 2020 Dubai oleh media antarabangsa.

Selain berjaya merangkul Anugerah Emas bagi Tafsiran Tema, Malaysia turut memenangi Honourable Mention bersama-sama Austria dan Belanda bagi kategori Reka Bentuk Mampan (Best Sustainable Design) anjuran Majalah EXHIBITOR World Expo Awards.

Ketua Setiausaha MOSTI yang juga merupakan Pesuruhjaya Jeneral Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, YBhg. Datuk Zainal Abidin Abu Hassan berkata, “Pencapaian-pencapaian ini telah membuktikan negara seperti Malaysia mampu membawa perubahan kepada persekitaran hijau yang mampan selaras dengan kempen #MyButterflyEffect.”