Jangan kucar-kacirkan kestabilan dengan desak bubar parlimen – Nazri Aziz

- Advertisement -

CYBERJAYA: Jangan kucar-kacirkan kestabilan yang sedang dinikmati rakyat ketika ini dengan mendesak parlimen dibubarkan segera, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Mohamed Nazri berkata sekiranya UMNO mahu parlimen dibubarkan ketika ini, rakyat akan menghukum parti yang mengkucar-kacirkan kestabilan yang sedang dinikmati masa ini.

Malah beliau menjelaskan, Yang Dipertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga telah bertitah bahawa baginda mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil.

“Jangan setakat bila untung kita sebut titah raja tetapi bila tidak menguntungkan, kita akan buat-buat lupa, tak boleh.

“Jadi kita kena ingat, apa pun titah daripada Yang Dipertuan Agong itu memang ada, mahukan kerajaan yang stabil, mahu negara stabil.

“Kalau kita langgar titah ini maka betul lah anggapan orang kita nak mengukcar-kacirkan keadaan yang sedang stabil sekarang, kenapa perlu kucar kacir diwaktu ini aman dan stabil, sekarang tidak ada apa-apa masalah.

“Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mentadbir dengan baik, tidak ada masalah. Saya lihat alasan yang diberikan itu spekulasi sahaja atau pun diada-adakan sahaja,” katanya seperti dilaporkan Astro AWANI.

Mohamed Nazri menjelaskan, rakyat akan melihat UMNO bukan hanya mengkucar-kacirkan keadaan tetapi menjatuhkan perdana menteri daripada parti sendiri.

“Pemulihan ekonomi negara kita belum lagi selesai, baru nak steady. Jadi pada waktu ini kita mendesak supaya diadakan PRU nampak lah kita yang mengkucar-kacirkan.

“Lebih teruk lagi ialah kalau kita desak PRU15 dan jatuhkan kerajaan yang ada ini, kita menjatuhkan seorang perdana menteri yang datang dari kalangan kita.

“Saya terus terang lah, kalau hari itu orang lain saya tidak kisah tetapi ini perdana menteri dari kalangan kita,” katanya lagi.

Bagi felo penyelidik Ilham Centre, Prof Hamidin Abd Hamid, hasrat mahu mengadakan pilihan raya awal digerakkan oleh sesetengah pemimpin UMNO yang mahu kekal pada kedudukan yang dimahukan.

Jelas beliau, sekiranya UMNO mampu mencapai kestabilan dalaman parti mereka, ia mampu menjadikan pentadbiran negara juga stabil.

“Saya sering mengatakan UMNO perlu menyelesaikan perkara ini dengan baik untuk memastikan apa yang berlaku dalaman parti itu tidak tidak tumpah dan memberi kesan kepada politik nasional.

“Setakat ini kita lihat UMNO gagal untuk menyelesaikan masalah dalaman parti mereka sendiri hingga ia dilihat menggugat kestabilan pentadbiran negara.

“Apa yang berlaku ketika ini, boleh saya katakan, desakan untuk bubar parlimen dilakukan oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam UMNO ini adalah usaha mereka menjadikan isu pilihan raya ini untuk memastikan mereka kekal pada kedudukan yang mereka mahukan.

“Saya kira UMNO sebagai sebuah parti tidak seharusnya digunapakai dalam konteks peras ugut sedemikian oleh pemimpin mereka sendiri,” katanya kepada Astro AWANI.

Selepas mencapai kemenangan selesa dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor terdapat pemimpin UMNO yang mendesak agar parlimen segera dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.

Namun, ada juga kalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut dan berpendapat kerajaan sedia ada perlu kekal hingga habis penggal ke-14 ini iaitu pertengahan tahun depan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,602FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat