CYBERJAYA: Lebih ramai rakyat Malaysia akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka dalam pesta demokrasi sekirang Rang Undang-Undang Antilompat Parti dibentang dan diluluskan di Parlimen, kata Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Nazri menjelaskan dengan adanya RUU tersebut, rakyat Malaysia yang sudah bosan dengan kerenah ahli politik akan keluar mengundi.

Malah Mohamed Nazri yakin RUU Antilompat Parti itu juga akan mewujudkan kestabilan dan boleh menyakinkan pelabur-pelabur luar untuk datang ke negara ini.

Beliau juga yakin, RUU Antilompat Parti itu mampu menarik sokongan orang muda dan pengundi bukan Melayu terhadap Barisan Nasional (BN).

“Saya rasa dengan adanya antilompat ini, bukan hanya orang muda tetapi rakyat Malaysia yang sudah benci dengan perangai ahli-ahli parlimen yang melompat dan hanya mementingkan diri sendiri sahaja akan keluar mengundi.

“Dan saya berpendapat anti hoping law ini juga akan membuatkan pelabur luar akan cuba bercakap baik tentang Malaysia kerana mereka juga nak melabur.

“Jadi pada pendapat saya dengan adanya anti hoping law ini, sebahagian besar daripada rakyat Malaysia bukan hanya akan keluar mengundi tetapi juga akan beri sokongan kepada kerajaan kerana membentangkan akta ini,” katanya seperti dilaporkan Astro AWANI.

Hujah Mohamed Nazri ini disokong oleh Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Hamidin Abd Hamid yang menjelaskan kesungguhan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyokong RUU Antilompat ini memberi gambaran bahawa parti itu benar-benar tidak menyokong lompat parti.

Dr Hamidin menjelaskan RUU Antilompat Parti ini akan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN kerana parti itu akan dilihat menjuarai isu yang sangat dikehendaki golongan muda dan masyarakat bukan Melayu.

“Kalau kita melihat mood dikalangan para pengundi terutama pengundi muda, kesangsian mereka terhadap BN ini menunjukkan mereka tidak mempercayai parti itu kepada tingkah laku yang berlaku sebelum ini.

“Sekiranya tingkah laku yang ditunjukkan BN itu menepati kehendak dan citarasa pengundi ketika ini terutama dalam konteks undang-undang yang menyekat lompat parti ini, saya kira UMNO dan BN akan berjaya menarik minat terutama golongan muda dan juga orang bukan Melayu kepada BN,” katanya kepada Astro AWANI.

RUU Antilompat Parti dijangka dibentangkan di parlimen tahun ini selepas pindaan perlembagaan bagi membolehkan ia bentangkan berjaya dilaksanakan.

BN dan Pakatan Harapan (PH) dilihat sebagai dua parti yang bersungguh-sungguh mahu RUU Antilompat Parti ini dibentang dan diluluskan.