‘Luculah Finas ni’ – Afdlin Shauki

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki menyifatkan kenyataan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid mengenai permohonan geran untuk projek filem Angel of Sandakan ditolak kerana tidak menepati piawaian ditetapkan sebagai lucu.

Zakaria menerusi Harian Metro sebelum ini menjelaskan punca penolakan permohonan daripada pihak Afdlin termasuk syarikat produksi lain kerana tidak mengikut syarat ditetapkan.

“Antara punca penolakan cadangan adalah disebabkan ketidaksesuaian kertas cadangan seperti ditetapkan dan kegagalan dalam mempersembahkan jalan cerita semasa sesi ‘pitching’.

Afdlin berkata, dia percaya pihaknya bukan saja memenuhi piawaian Finas tetapi sebenarnya sudah melebihi jangkaan.

Pihaknya bukan saja memenuhi kriteria bagi memohon geran, malah turut memberikan pembentangan terbaik dan lengkap.

“Kami bukan saja hadir dengan skrip yang lengkap, tetapi juga ‘storyboard’ beranimasi, poster, sokongan daripada penerbit luar negara yang pernah memenangi Oscar dan juga pelabur dana untuk projek ini,” katanya.

Afdlin berkata, filem berkenaan yang sebelum ini diberi judul Sandakan Tears adalah projek yang dibangunkan bersama dengan pengurusan Finas yang terdahulu untuk menghasilkan karya yang mampu memenangi Oscar.

“Ia juga adalah projek pertama Malaysia yang Finas ingin gunakan bagi memeterai perjanjian produksi Australia-Malaysia. Pihak kami juga sudah berjumpa dengan wakil pawagam Australia untuk tujuan ini.

“Jadi, Finas memberikan kami dana pengembangan skrip untuk menyelesaikan skrip projek ini, sekali gus bermakna projek ini sudah melalui proses persetujuan yang amat ketat,” katanya.

Afdlin berkata, adalah sesuatu yang melucukan apabila pengurusan Finas ketika ini tidak menyedari perkara itu.

“Oleh kerana harta intelek filem ini sekarang berada di bawah Petra Vision Works, saya terpaksa meyakinkan Pengerusi Petra Group, Datuk Vinod Sekhar yang pada mulanya ingin melaksanakan projek ini secara sendirian dengan bantuan pelabur luar negara.

“Saya meyakinkannya untuk menjadikan Finas sebagai sebahagian daripada projek ini kerana pada asalnya ia dibangunkan bersama-sama Finas. Langkah ini juga bagus untuk kelangsungan pembangunan imej negara demi kebaikan bersama dan kemajuan industri filem di Malaysia,” katanya.

Menurut Afdlin, dia tidak marah dengan tindakan Finas menolak karya yang diluluskan mereka sendiri di peringkat awal, sebaliknya sedih apabila projek ini umpama dibuang begitu saja.

“Saya impikan projek ini menjadi sebuah projek nasional dengan perbadanan filem yang sepatutnya mendokong pembangunan filem di Malaysia tetapi apakan daya, ini satu kerugian,” katanya.

Afdlin berkata, pembikinan filem itu akan diteruskan dan dia akan berusaha untuk terus mengharumkan nama negara menerusi karyanya.

Terdahulu, Afdlin turut menganggap permohonan geran untuk filem itu ditolak berikutan kenyataannya secara terbuka menyokong parti pembangkang, PKR.

Namun, Zakaria menafikan penolakan itu membabitkan unsur pilih kasih atau sentimen perkauman serta kecenderungan politik.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat