CYBERJAYA – Seorang pegawai khidmat pelanggan disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas dipercayai memuat naik kandungan bersifat jelik dan melampau di platform media sosial X, yang turut menyentuh sensitiviti kaum.
Siasatan dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), di mana telefon pintar serta kad SIM milik individu tersebut telah disita untuk analisis forensik.
“Rakaman percakapan suspek juga telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk membantu siasatan,” kata kenyataan MCMC.
Kes ini dikendalikan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC mengulangi peringatan kepada orang ramai agar tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang berunsur kebencian membabitkan isu perkauman, agama, dan Institusi Diraja (3R) di media sosial atau aplikasi pemesejan.
“Tindakan penguatkuasaan bersama PDRM akan diambil secara berterusan terhadap mereka yang terlibat, mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi keharmonian dan ketenteraman awam,” tambah kenyataan itu.
MCMC juga menegaskan bahawa pihaknya tidak mendedahkan identiti individu yang disiasat kerana kes masih dalam peringkat siasatan dan belum dibawa ke mahkamah.