Sultan Selangor Titah MAIS Salur Bantuan kepada Pelajar Terjejas di Putra Heights

- Advertisement -

PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) supaya menyalurkan bantuan kepada pelajar di semua peringkat persekolahan yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Bantuan ini bertujuan memastikan para pelajar yang terkesan tidak perlu menangguhkan persekolahan dan dapat meneruskan sesi pembelajaran mereka seperti biasa.

Bagi tujuan ini, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) akan mengenal pasti jumlah pelajar yang terjejas dan menyalurkan bantuan dalam bentuk pakaian seragam, alat tulis, buku, peralatan sekolah, serta keperluan lain yang diperlukan.

Menurut kenyataan rasmi, “Walaupun YIDE ditubuhkan oleh MAIS sebagai sebuah institusi kebajikan untuk menyantuni anak-anak yatim beragama Islam dan menyalurkan bantuan akibat bencana di Selangor, namun bagi maksud menyantuni mangsa tragedi di Putra Heights selaras dengan titah Sultan Selangor, bantuan oleh YIDE akan turut diberikan kepada mangsa pelajar yang bukan beragama Islam.

Kenyataan ini diumumkan oleh Pengerusi MAIS, Senator Salehuddin Saidin. Beliau memaklumkan bahawa MAIS bersama pihak polis dan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor telah dititahkan untuk menghadap Sultan Sharafuddin pada pagi tadi bagi membincangkan usaha pemulihan bagi mangsa tragedi tersebut.

Sebagai tambahan, Sultan Sharafuddin turut menitahkan pihak pengurusan masjid dan surau berdekatan kawasan tragedi supaya bersedia untuk dijadikan pusat penempatan sementara (PPS) bagi mangsa yang memerlukan tempat perlindungan sementara.

Bagi memastikan kelancaran usaha ini, MAIS akan memperuntukkan bantuan kewangan untuk kerja-kerja pemulihan masjid dan surau yang mengalami kerosakan akibat tragedi ini, termasuk kos penyelenggaraan dan pemulihan selepas digunakan sebagai PPS.

Baginda turut menekankan kepentingan untuk memastikan aktiviti keagamaan di masjid dan surau berjalan seperti biasa.

“aktiviti solat fardu berjemaah hendaklah terus dilaksanakan seperti biasa di masjid dan surau dan tidak ditangguhkan sepanjang masjid dan surau tersebut digunakan sebagai PPS.”

Selain itu, Sultan Selangor turut menitahkan Lembaga Zakat Selangor untuk mengenal pasti jumlah mangsa yang mengalami kemusnahan dan kerosakan harta benda bagi tujuan penyaluran bantuan zakat yang bersesuaian.

“Keutamaan dan kesegeraan bantuan akan diberikan kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal atau mangsa yang mengalami kerosakan rumah yang teruk,” tambah kenyataan itu lagi.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat