Oleh Zihan Zari
SHAH ALAM – YM Raja Nazirin Shah Raja Mohamad telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor (YS) yang baharu, berkuatkuasa mulai 3 Mac 2025.
YS dalam kenyataannya menyebut Raja Nazirin Shah memiliki pengalaman luas dalam bidang hartanah dan korporat.
“Beliau berkelulusan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang Pengurusan Harta dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Management & Science University (MSU) serta Pengajian Pengurusan dan Pentadbiran dari Universiti Kagawa Jepun.
“Beliau telah menyertai Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Sentral Properties Sdn Bhd selama lebih 10 tahun pengalaman sejak Disember 2000, ”kata kenyataan itu pada Isnin.
“Ketika itu, beliau memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Kanan yang bertanggungjawab untuk merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan bagi Jualan, Pemasaran serta Pengurusan Aset di KL Sentral Sdn Bhd.
“Ianya merupakan sebuah projek pembangunan bersepadu di bawah anak syarikat kepada MRCB Berhad.
“Selepas menyertai MRCB Sentral Properties Sdn Bhd, beliau berkhidmat selama lebih enam tahun dalam bidang Operasi dan Korporat dengan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi dan juga Ketua Pegawai Eksekutif di PNB Commercial Sdn Bhd.
“Beliau telah ditugaskan merencana projek berprofil tinggi dalam membangun strategi Blueprint Asset Enhancement Initiative (AEI) bagi tujuan untuk meningkatkan nilaian aset dan hartanah, ”katanya.
“Selain itu, Raja Nazirin Shah telah memegang jawatan sebagai Vice President & Head of Commercial di PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB), anak syarikat Permodalan Nasional Bhd (PNB), selama lebih satu tahun.
“Beliau juga berpengalaman selama empat tahun sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif di AmFirst Real Estate Investment yang bertanggungjawab dalam pengurusan operasi dan komunikasi strategik.
Manakala pada 2022 sehingga 2024, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Damansara Reit Managers Sdn Bhd., ”katanya lagi.
“Dengan pengalaman luasnya selama lebih dari 20 tahun di kedua-dua sektor hartanah dan korporat, kudrat beliau diperlukan bagi menerajui usaha dan komitmen dalam memperkukuhkan lagi penjenamaan YS sebagai sebuah syarikat yang menjana pendapatan sendiri menerusi pembangunan aset dan hartanahnya.
“Ia sekali gus mampu mencorak impak positif dalam meningkatkan dana syarikat untuk disalurkan bagi memberdaya program-program pendidikan negeri dalam usaha melahirkan modal insan yang berjaya, ”tambahnya.
Dalam pada itu, sesi penyerahan surat pelantikan Raja Nazirin Shah Raja Mohamad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif YS baharu telah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin di Pejabat SUK Selangor dekat sini pada Isnin . -SUARA.TV