Pemberi maklumat buat pendedahan umum tidak dilindungi – Azalina

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang meminda peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi memberi perlindungan kepada pemberi maklumat yang membuat pendedahan kepada umum terlebih dahulu, sebelum disalurkan kepada agensi penguatkuasaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata mengikut akta sedia ada, seseorang boleh membuat pendedahan perlakuan tidak wajar kepada mana-mana agensi penguatkuasaan dan pada masa sama, perlindungan boleh diberikan kepada pemberi maklumat apabila dibuat kepada mana-mana agensi penguatkuasa.

Merujuk kepada pendedahan kes rasuah perolehan projek mineral di Sabah, Azalina berkata, pemberi maklumat dalam kes itu membuat pendedahan kepada umum terlebih dahulu, sebelum melaporkannya kepada agensi penguat kuasa.

“Justeru, pemberi maklumat tidak boleh dilindungi di bawah Subseksyen 7(1).

“Pada masa sama, tiada cadangan pindaan untuk menambah baik Akta 711 bagi melindungi pemberi maklumat yang membuat pendedahan kepada umum dan awam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Teresa Kok (PH-Seputeh) sama ada pindaan Akta 711 yang akan dipinda kelak akan memperkenalkan pengecualian untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat yang membuat pendedahan kepada umum bagi kes berkepentingan awam, dengan merujuk pendedahan kes rasuah perolehan projek mineral di Sabah.

Azalina berkata, agensi penguat kuasa akan menilai sama ada maklumat yang diperoleh daripada pemberi maklumat itu dilihat sebagai keperluan, yang membolehkan individu itu layak dilindungi.

“Bila pergi kepada agensi penguat kuasa dan kita adalah pemberi maklumat yang mahukan perlindungan, agensi akan memberikan justifikasi itu.

“Dia tidak boleh pergi kepada umum dan mahu dapat perlindungan kerana kadangkala pemberi maklumat juga tidak mempunyai niat yang baik,” lapor BH pada Selasa.

Sementara itu, menjawab soalan asal Teresa berhubung status terkini pindaan Akta 711, Azalina berkata, kerajaan kekal komited untuk merealisasikan cadangan pindaan itu dan akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.

Beliau berkata, beberapa cadangan dasar sedang dipertimbang untuk diangkat bagi pertimbangan Jemaah Menteri dalam menggubal cadangan pindaan akta itu, antaranya cadangan pengubahsuaian di bawah seksyen 6 bagi mengelakkan percanggahan dengan akta lain dan menggalakkan pendedahan kelakuan tidak wajar tanpa sekatan di bawah undang-undang sedia ada yang lain.

Selain itu, penambahbaikan seksyen 11 bagi peruntukan pembatalan perlindungan kepada pemberi maklumat, yang mana perlindungan boleh dilanjutkan jika pendedahan yang dibuat adalah berdasarkan suci hati dan tidak membabitkan sebarang kepentingan peribadi serta pengenalan skala ganjaran standard bersesuaian untuk memudahkan proses pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat