Oleh Zihan Zari
BANGI – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah mengambil inisiatif untuk mengelola kursus Jurulatih Asas Pertahanan Awam kepada anggotanya dengan sasaran lebih 1,000 jurulatih menjelang Jun ini, bagi memperkasa kesiapsiagaan awam untuk keselamatan dan kesejahteraan negara.
Sasaran ini diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan serta melatih 150,000 orang awam dalam tempoh dua tahun.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid berkata, dengan sasaran ini jumlah jurulatih perlu ditingkatkan agar latihan dapat dijalankan secara sistematik dan berkesan.
Dr. Khairus Masnan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sasaran +1000 Jurulatih APM di Dewan Delima, Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA), dekat sini pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam, Datuk Aminurrahim Mohamed; Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan Ibu Pejabat Pertahanan Awam (IPPA), Kol (PA) Fazlisyah Muslim; Timbalan Komandan ALPHA, Lt. Kol (PA) Roydee Abd Rahman; dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Aduan & Tindakan Susulan Penguatkuasaan, Bahagian Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS), Abdul Aziz Parmin.
Dr. Khairus Masnan berkata, lebih ramai jurulatih, lebih ramai masyarakat dapat menerima latihan asas pertahanan awam, sekaligus meningkatkan tahap kesedaran dan keupayaan mereka dalam menghadapi situasi kritikal.
Menurutnya, berbekalkan pengalaman, ilmu, kemahiran, kepakaran, serta latihan berterusan, setiap warga APM sentiasa bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan dengan keikhlasan dan semangat yang tinggi.
APM telah merancang bagi melaksanakan keperluan kursus ini secara berperingkat mengikut sasaran yang ditetapkan sebagai usaha dalam mempersiapkan masyarakat dengan ilmu pertahanan awam.
Menurutnya lagi, sasaran ini bukan sekadar meningkatkan bilangan jurulatih APM malah memperkasa ekosistem pertahanan awam negara, di samping meningkatkan kualiti dan kemahiran jurulatih supaya masyarakat lebih bersedia dalam menghadapi risiko atau ancaman bencana.
“Berdasarkan Akta Pertahanan Awam 1952 (Akta 221), Pertahanan Awam berfungsi dalam tiga situasi utama, iaitu masa aman, masa peperangan, dan ketika bencana.
“Dalam setiap keadaan ini, langkah-langkah strategik diambil bagi menyelamat, melindungi, serta mengurangkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda dalam kalangan penduduk awam, ”katanya.
“Selain itu, kehadiran agensi-agensi penting serta jalinan hubungan strategik memainkan peranan utama dalam memperkasakan masyarakat.
“Kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan rakyat malah membentuk sebuah masyarakat yang lebih matang, bertanggungjawab, dan berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan,”katanya lagi.
“APM menerusi kenyataannya memaklumkan, sedang berusaha untuk melatih seramai 95,000 orang pada tahun ini dan untuk mencapai sasaran ini, APM memerlukan lebih ramai jurulatih yang terlatih dan berkemahiran tinggi.
“Pertahanan awam bukan hanya berkisar kepada operasi penyelamatan semasa bencana atau peperangan namun ianya meliputi pelbagai bidang lain, termasuk pencegahan, kesedaran, serta persediaan menghadapi krisis,”ujarnya.
“Oleh itu, penting bagi kita untuk memastikan jurulatih yang dilatih adalah mereka yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga mampu menjadi role model kepada peserta kursus dan masyarakat.
“Dengan penambahan jumlah jurulatih ini, kita juga memberikan peluang kepada pelbagai pihak luar, antaranya Giat Mara, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), JAS, dan banyak lagi untuk terlibat secara aktif dalam melatih dan menyebarkan kesedaran keselamatan di kalangan rakyat Malaysia.
“Kolaborasi ini adalah kunci untuk memperkasa pertahanan awam di negara ini, terutamanya di kawasan yang terdedah kepada risiko bencana alam dan ancaman keselamatan, ”ujarnya lagi.
“Program ini tidak hanya melibatkan APM, tetapi juga menyasarkan pelbagai organisasi dan NGO, seperti Persatuan Sahabat Pertahanan Awam (PeSPA), Koperasi APM Berhad, Skuad Sabil Malaysia, serta banyak lagi.
“Ini adalah usaha yang lebih inklusif yang menggalakkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat, bagi memastikan keselamatan negara sentiasa di tahap yang terbaik,”ujarnya lagi.
“APM telah pun melaksanakan pelbagai latihan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, antaranya program Tunas Pertahanan Awam (TUSPA); Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA); Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA); Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA); program LEADER (Local Engagement Approach Disaster and Emergency Response), dan Kampung Siaga 221.
“Program-program ini telah terbukti berjaya meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat dan membantu mereka memahami peranan mereka dalam menghadapi bencana atau ancaman keselamatan,”tambahnya.
Dalam pada itu, penyerahan Kurikulum Latihan yang mengandungi Modul Kursus, Jadual Kursus, Rancangan Mengajar, Nota Jurulatih, Nota Pelatih dan Prosedur Tetap Latihan telah disampaikan kepada Komandan
Institut Latihan Pertahanan Awam (ILPA), APM Sabah & Sarawak bagi melaksanakan sasaran ini.
Selain itu, penyerahan Kit Persediaan sebagai Penyedia Latihan turut disampaikan kepada agensi kerajaan dan persatuan antaranya, Pertubuhan Sahabat Pertahanan Awam (PeSPA), Koperasi APM Berhad, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), JAS, GIATMARA, Skuad Sabil Malaysia dan Persatuan Penyelamat Kelemasan. – SUARA.TV