KUALA LUMPUR – Budaya berpuak-puak dalam pasukan perlu dihentikan supaya ia tidak diwarisi generasi seterusnya.
Itu penegasan Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar.
Kata beliau, budaya berpuak ‘your team, my team, his team’ perlu dihentikan sekiranya mahu menjadikan ATM sebuah angkatan yang kukuh, berintegriti dan bersatu padu.
“Adakah ini yang kita mahu wariskan kepada generasi yang mendatang?
“Adakah kita ingin membina organisasi yang berpecah-belah kerana kepentingan peribadi, atau kita mahu sebuah angkatan yang bersatu, berpaksikan disiplin dan integriti,” soalnya ketika berucap pada Majlis Mula Tugas dan Ucaptama Panglima ATM ke-23 di Wisma Pertahanan pada Selasa.
Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Selain itu, Nizam turut menegaskan semua warga ATM perlu menguatkan dan memupuk budaya hormat menghormati, memberi pandangan yang jujur dan saling menegur dengan berhikmah.
“Budaya teguran dan rasa hormat tidak boleh dipaksa.
“Sebaliknya perlu dibina atas asas kepercayaan dan keikhlasan demi menjunjung sumpah perwira yang telah mereka lafazkan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya pembangunan modal insan dan penjagaan kebajikan anggota menjadi keutamaan ATM dalam memastikan angkatan itu kekal utuh dan berdaya teguh.
“Moral anggota harus menjadi keutamaan dan ini merangkumi pelbagai aspek seperti kebajikan, pertukaran anggota, tempoh penugasan, kenaikan pangkat serta kursus yang dihadiri untuk meningkatkan kompetensi.
“Perkara utama yang ingin saya tekankan di sini juga adalah kepentingan latihan dan kebajikan. Latihan bukan sekadar keperluan.
“Malahan juga suatu bentuk kebajikan kepada anggota kerana melalui latihan, kita dapat memahami maksud sebenar semangat persaudaraan dan memperkukuhkan semangat tersebut dalam setiap diri anggota,” katanya.
Tambah beliau, latihan berterusan adalah kunci untuk meningkatkan mutu profesionalisme angkatan ini, bagi memastikan kita sentiasa bersedia dalam menghadapi pelbagai cabaran.
“Seterusnya modal insan merupakan aspek paling penting dalam memastikan angkatan ini kekal utuh dan teguh.
“Moral anggota harus menjadi keutamaan dan ini merangkumi pelbagai aspek seperti kebajikan, pertukaran anggota, tempoh penugasan, kenaikan pangkat serta kursus yang dihadiri untuk meningkatkan kompetensi.
“Para pengurus kerjaya seharusnya peka di dalam menangani situasi yang mencabar ini,” lapor BH.
Tegas beliau, pemilihan pegawai harus berasaskan pencapaian sejak awal perkhidmatan, termasuk kursus yang dihadiri serta keputusan yang dicapai.
Katanya, aspek ini mesti menjadi kayu pengukur dalam menilai keupayaan mereka, sekali gus, mendorong persaingan sihat untuk memberikan yang terbaik.
“Penyediaan peralatan asas yang mencukupi dan berfungsi dengan optimum, kemudahan serta persekitaran kerja yang baik dan harmoni, adalah antara faktor utama yang perlu diperkukuhkan.
“Ini untuk memastikan keberkesanan dan kesejahteraan anggota serta tiada kecacatan dalam melaksanakan sesuatu penugasan yang diamanahkan,” katanya.