KUALA LUMPUR — Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata Ujian Lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berlangsung di seluruh negara semalam berjalan lancar termasuk ketiga-tiga negeri yang terjejas akibat banjir.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat memastikan persiapan peperiksaan berjalan lancar mengikut jadual.
“Alhamdulilah setakat ini perjalanan ujian lisan SPM berjalan dengan lancar.
“Semalam saya berada di Kelantan, Ketua Pengarah Pendidikan di Terengganu dan Datuk Ketua Setiausaha KPM di Kedah, kami memantau ketiga-tiga negeri ini cukup rapat bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bersama pegawai khususnya di peringkat agensi untuk memastikan tiada halangan kehadiran anak anak ke peperiksaan semalam.
“Setakat in semua berjalan lancar, saya ucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan sebagaimana disebutkan YAB PM dalam dewan persiapan agensi kerajaan sangat luar biasa dan ia sinergi terbaik pernah kita saksikan untuk memastikan persiapan kita berjalan lancar mengikut jadual.
“Semua calon telah ditempatkan di asrama dikenal pasti dan menjalani ujian lisan mengikut jadual yang ditetapkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui media selepas melawat Pameran Wacana Pencapaian Semasa Inisiatif Baucar Buku di laman Parlimen hari ini.
Selain itu Fadhlina berkata fasa pertama memindahkan calon ke tempat selamat telah selesai 100 peratus dan kini menjalankan fasa kedua bagi memberi sokongan emosi kepada setiap calon yang terbabit dengan masalah banjir.
“Kita telah pun selesai fasa pertama memindahkan calon ke tempat selamat, mereka ditempatkan di asrama yang telah kita kenal pasti seperti asrama yang akan menempatkan mereka sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Jadi fasa pertama menempatkan mereka telah selesai 100 peratus dan semalam ketika saya di kelantan dan rakan-rakan di Terengganu dan Kedah (telah) masuk fasa kedua iaitu pembugaran emosi.
“Jadi persiapan mental mereka, kita bagi persiapan dan tumpuan penuh mempersiapkan mereka bagi peperiksaan. Bagi yang tidak dapat menghadiri peperiksaan semalam maknanya mereka boleh hadiri peperiksaan hari ini atau esok,” katanya.