LPPKN lakar kejayaan perkhidmatan rawatan subfertiliti

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,249 (21 peratus) kehamilan telah berjaya dicatatkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menerusi perkhidmatan rawatan kesuburan (subfertiliti).

Manakala, seramai 29,163 individu pula telah menjalani rawatan subfertiliti dengan kes baharu dan ulangan diterima LPPKN mencecah 9,000 orang setiap tahun.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hjh. Nancy Shukri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Jalinan Kasih LPPKN 2024 sempena sambutan ulang tahun ke-45 perkhidmatan subfertiliti di Dewan Besar, Ibu Pejabat LPPKN, Jalan Raja Laut dekat sini pada Ahad.

Beliau turut melancarkan perasmian Klinik Fertiliti LPPKN Full Paying Patient (FPP) dan kempen #lebihawallebihbaik

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ,
Datuk Dr. Maziah Che Yusoff; Pengerusi LPPKN, Dato’ Sri Rohani Karim, dan Ketua Pengarah LPPKN, Hj. Abdul Shukur Abdullah.

Nancy berkata, ia adalah satu tempoh cukup matang dalam bidang subfertiliti serta pelbagai kejayaan dilakarkan oleh LPPKN yang mengkagumkan bagi perkhidmatan ini.

“Perkhidmatan rawatan subfertiliti dan kehamilan yang ditawarkan oleh LPPKN terus menunjukkan prestasi memberangsangkan.

“Tahniah diucapkan kepada LPPKN agensi di bawah KPWKM telah memberi sumbangan yang signifikan kepada perkhidmatan subfertiliti dalam negara sejak 1979, ”katanya.

LPPKN dalam kenyataannya memaklumkan, Majlis Jalinan Kasih LPPKN 2024 ini diadakan bagi meraikan anak-anak hasil rawatan perkhidmatan subfertilitii.

“Di samping itu, mengeratkan hubungan silaturrahim antara klien dan anggota LPPKN di samping memberi penghargaan kepada semua pihak yang menyokong perkhidmatan subfertiliti LPPKN.

“Perkhidmatan baharu ini bakal dilengkapi teknologi terkini dan barisan doktor pakar khusus bagi membantu pasangan yang menginginkan cahaya mata tetapi menghadapi kekangan mendapatkan rawatan kesuburan di fasiliti sedia ada,”katanya.

“LPPKN komited untuk memberikan rawatan yang terbaik dengan pelbagai pilihan rawatan kepada pasangan selain memendekkan tempoh menunggu giliran dan rawatan, ”tambahnya.

Penubuhan klinik ini adalah satu langkah proaktif untuk memberikan perkhidmatan rawatan subfertiliti berkualiti tinggi kepada masyarakat dan menawarkan rawatan yang menyeluruh dengan kos yang lebih kompetitif berbanding hospital swasta.

Klinik Fertiliti LPPKN FPP beroperasi di Aras Bawah, Bangunan LPPKN, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat