Mesej penolakan kuat di Kemaman, Kerajaan Perpaduan boleh terkubur

- Advertisement -

Oleh: Mohd Afifi Abdul Razak

Kemenangan calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman kelmarin dengan sejumlah majoriti yang jauh lebih besar iaitu 37,220 undi berbanding majoriti 27,179 undi yang diperolehi oleh calon PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setahun lalu telah memberikan isyarat yang jelas dan kuat mengenai beberapa perkara yang sepatutnya diinsafi oleh pemimpin-pemimpin utama UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan.

Peningkatan majoriti undi sebanyak 36.94% yang diraih oleh PAS/Perikatan Nasional (PN) ini dalam keadaan peratus keluar mengundi 16.39% lebih rendah menunjukkan bahawa UMNO/BN semakin kuat ditolak oleh rakyat.

Pada PRU15, undi yang diperolehi oleh calon PAS, Che Alias Hamid, ialah 65,714 manakala undi calon BN, Datuk Seri Ahmad Said, ialah 38,535. Calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin, pula memperolehi 8,340 undi. Dalam PRK Kemaman kelmarin, Samsuri memperolehi 64,998 undi manakala calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, hanya memperolehi 27,778 undi.

Beberapa perkara yang menarik dari catatan undi ini ialah prestasi calon BN teruk. Undi yang diperolehi, iaitu 27,778, jauh lebih rendah berbanding majoriti kekalahannya, iaitu 37,220. BN sahaja kehilangan 10,757 undi dalam PRK ini, jika dicampur dengan undi PH dalam PRU 15, bermakna BN-PH kehilangan 19,097 undi. PAS pula hanya kehilangan 716 undi walaupun peratusan keluar mengundi menurun menjadi hanya 65%.

Apakah punca kekalahan teruk BN dalam PRK Kemaman walaupun calon yang ia turunkan adalah calon amat kuat, iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri sendiri turun berkempen di sana?

Berdasarkan kajian, terdapat tiga punca utama penolakan pengundi Kemaman kepada BN dalam PRK kelmarin.

Punca pertama ialah penolakan mereka ke atas kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dan Ahmad Said sebagai Pengerusi UMNO Terengganu. Ramai ahli dan penyokong UMNO Kemaman yang ditemui menyatakan walaupun mereka sayang kepada UMNO mereka tidak akan kembali mengundi UMNO selagi kedua-dua pemimpin ini masih menjadi ketua.

Punca kedua ialah penolakan mereka ke atas kerjasama antara BN dan PH yang DAP adalah salah satu parti komponennya. Kepada pengundi Kemaman nama DAP adalah taboo yang bila disebut akan mendatangkan rasa kemarahan. Bila UMNO bekerjasama dengan DAP sekali gus UMNO juga ditolak. Selagi UMNO masih bekerjasama dengan DAP maka selagi itu UMNO akan ditolak di Kemaman.

Punca ketiga adalah ketidakpuasan hati pengundi Kemaman dengan prestasi Anwar sebagai sebagai Perdana Menteri dan dengan prestasi Kerajaan Perpaduan. Dalam satu kaji selidik Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), hanya 21% responden yang berpuas hati dengan prestasi Anwar dan hanya 15% responden berpendapat kehidupan mereka bertambah baik selepas PH-BN memerintah.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk Anwar dan Kerajaan Perpaduan tidak lagi bersikap ‘self-denial’ dan mengambil satu langkah yang drastik untuk mengubah keadaan bagi menyelamatkan Kerajaan Perpaduan sebelum terlambat. Ambillah segala dapatan kajian dan komentar badan dan individu berwibawa untuk pembaikian.

Buatlah introspeksi dalaman mengapa Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar, berkata reformasi mati setelah Anwar menjadi Perdana Menteri. Begitu juga dengan dapatan kaji selidik Merdeka Center yang menunjukkan hanya 31% responden berpendapat bahawa negara sejak dipimpin oleh Anwar berada pada hala tuju yang betul, hanya 37% responden berpuas hati dengan usaha beliau memerangi rasuah dan hanya 32% responden berpuas hati dengan usaha beliau mewujudkan pertumbuhan ekonomi.

Semaklah segera mengapa kolumnis Malaysiakini, P Gunasegaram, memberi markah gagal, hanya 43%, kepada Anwar manakala editor veteran, R Nadeswaran, pula memberi markah D- kepada Anwar. Mengapa mereka berkata Anwar pandai bersyarah dan bercakap banyak, tetapi tiada hasil untuk ditunjukkan dan syarahannya tidak diterjemah ke dalam tindakan?

Perlu disemak juga tulisan penganalisis luar, Dr Bridget Welsh, yang menyebut Anwar hanya pandai bercakap, banyak berjanji, suka beralih dari satu isu ke isu lain, suka berjalan ke luar negara, mengenepikan tugasnya di Kementerian Kewangan dan setiap kata-katanya mengenai rasuah tiada wibawa. Begitu juga komentar Gareth Leather, penganalisis kanan ekonomi di London yang berkata peluang “amat tipis” untuk melaksanakan pembaharuan dan memulihkan ekonomi di bawah pentadbiran Anwar.

Itu di pihak Anwar dan Kerajaan Perpaduan. Di pihak UMNO sendiri, segeralah lakukan rejuvenasi diri dengan menukar pimpinan lama yang tidak disenangi oleh rakyat bawahan secepat mungkin.

Lebih utama lagi, fikirkanlah balik bentuk kerjasamanya dengan DAP. Adakah kerjasamanya dengan DAP dalam bentuk sekarang menguntungkan UMNO? Mengapakah ramai pengundi Melayu berkata dengan pendirian dan sikap yang ditunjukkan DAP dalam banyak hal memberi ruang kepada UMNO akan mengancam kepentingan Melayu dan Islam di negara ini?

Sekiranya UMNO/BN tidak juga insaf dengan keputusan PRK Kemaman kali ini setelah ditolak sebelumnya dalam PRU15 dan diikuti dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mustahil UMNO/BN akan menunggu masa untuk berkubur di Terengganu dan mungkin juga di seluruh negara.

Susulan ini, kekalahan teruk BN-PH ini tentunya membuka ruang untuk cakap-cakap mengenai kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan di tengah penggal untuk berlaku semula. Ia tidak bagus untuk kestabilan negara, dan untuk mengelakkan ini dari berlaku maka UMNO, Anwar dan Kerajaan Perpaduan perlu mengambil langkah segera bagi menenangkan keadaan. Jika tidak, Kerajaan Perpaduan mungkin boleh terkubur.

Terpaling penting pastilah segera mengisi kekosongan jawatan Menteri serta merombak Kabinet dengan menggugurkan Menteri-Menteri yang berprestasi rendah dan memasukkan tokoh-tokoh lebih berwibawa seperti Datuk Seri Johari Abdul Ghani atau mana-mana tokoh korporat dari luar ke dalam Kabinet untuk menangani isu-isu kewangan dan ekonomi.

Penulis, Mohd Afifi Abdul Razak, ialah penganalisis politik Malaysia

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat