Barisan Kabinet paling mengecewakan dalam sejarah, kata Muhyiddin

- Advertisement -

CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan barisan Kabinet yang baru diumumkan semalam sebagai paling mengecewakan dalam sejarah negara.

Dalam kenyataannya hari ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ia barisan kabinet yang mengecewakan kerana terdapat individu yang berdepan dengan 47 pertuduhan di mahkamah yang turut menjadi sebahagian daripada Jemaah Menteri.

Muhyiddin juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sanggup menggadai prinsip yang sering dilaungkan semasa berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan menerima kleptokrat menjadi Timbalan Perdana Menterinya.

“Ini adalah barisan kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah (diarah) membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

“Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi perdana menteri,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin juga sekali lagi menegaskan bahawa kabinet Anwar tidak memiliki sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara kerana ditubuhkan “atas penipuan mandat’ yang diberikan oleh rakyat Malaysia.

Malam tadi Anwar mengumumkan senarai 28 anggota kabinetnya yang diumumkan kira-kira seminggu selepas dia mengangkat sumpah.

Seperti dijangka perdana menteri ke-10 Malaysia itu turut melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengisi salah satu jawatan terkanan dalam kerajaan.

Ahmad Zahid yang kini sedang dibicarakan di mahkamah merupakan individu penting yang membawa BN memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

Menurut Muhyiddin tindakan Anwar menerajui Kementerian Kewangan juga akan menyebabkan pemusatan kuasa dan ia boleh mencetuskan penyelewengan seperti skandal 1MDB.

“Bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda antirasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata,” katanya lagi.

Selain itu, dakwa Muhyiddin, ada ahli parlimen yang dikenali dengan sikap “cauvinis melampau” dilantik menerajui kementerian tertentu dan bakal mengundang kontroversi.

Justeru tambah ahli parlimen Pagoh tersebut, beliau menjangkakan akan wujud dasar bersifat perkauman yang ekstrem diperkenalkan di kementerian terbabit.

“Sistem negara kita telah rosak apabila individu bankrap moral dan prinsip boleh dilantik menerajui negara dan yang terpalit dengan jenayah rasuah menganggotai kabinet.

“Rasa tanggungjawab dan belas kasihan terhadap rakyat telah tiada dan rakyat juga hilang percaya terhadap tunggak kepimpinan negara,” ujarnya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat