Sungai Perak tukar jadi biru kerana perlombongan REE, bijih timah – JAS

KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan tiga aktiviti perlombongan dikesan berhampiran kawasan hulu Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik, lokasi yang tular dengan kejadian air sungai bertukar kebiruan dan didakwa tercemar, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, satu daripada aktiviti tersebut melibatkan kilang unsur nadir bumi (REE) manakala dua lagi adalah lombong bijih timah.

“Kita sudah menjalankan siasatan. Sebelum ini terdapat empat punca, namun satu lombong ditutup dan kini tinggal tiga iaitu satu REE dan dua perlombongan bijih timah,” katanya ketika Sesi Dialog Ketua Pengarah Alam Sekitar bersama Pengamal Media lapor Astro Awani pada Isnin.

Menurut Wan Abdul Latiff, pasukan JAS turut bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran berkenaan.

“Kita sudah mengambil sampel air dan kini menunggu keputusan analisis kimia. Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti sekiranya terdapat punca lain,” jelasnya.

Beliau berkata, JAS tidak menolak kemungkinan terdapat saluran aliran baharu atau tindak balas kimia tertentu yang menyebabkan air sungai itu bertukar biru.

“Dalam kes ini, kita belum melihat bukti pelepasan terus dari kilang. Ada juga kes lain sebelum ini di mana pencemaran berlaku kerana bahan kimia dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab ke dalam sungai.

“Jadi semua itu dalam siasatan dan kita akan dedahkan hasil laporan analisis selepas diperoleh,” katanya.

Sebelum ini, tular video dan gambar memaparkan perubahan warna air Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan, kira-kira lima kilometer dari Kampung Air Ganda bertukar biru seperti air laut.

Walaupun kelihatan cantik, fenomena itu didakwa mengandungi bahan bertoksik dan berbahaya kepada hidupan akuatik dan manusia, termasuk risiko kerosakan organ, gangguan saraf serta kanser.

Perubahan warna tersebut dipercayai berkaitan aktiviti perlombongan di kawasan Bukit berhampiran hulu Sungai Rui, yang merupakan salah satu anak sungai utama membentuk Lembangan Sungai Perak.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat