Semua ada ‘roh’ bebas sukar bergabung – Shahril anggap mustahil tubuh parti progresif baharu

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berpendapat bahawa cadangan supaya enam ahli politik muda dan progresif, termasuk dirinya, bergabung menubuhkan parti baharu adalah menarik, namun tidak realistik.

Hal ini kerana menurut Shahril, beliau dan lima pemimpin lain yang disebut, iaitu Datuk Wan Saiful Wan Jan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Khairy Jamaluddin mempunyai perbezaan ketara dari segi personaliti dan ideologi.

“Pandangan menarik tetapi ia tak akan berlaku sebab semua berkongsi sifat, iaitu ada kepala masing-masing dan tidak dijamin ada kesepakatan ideologi,” lapor FMT pada Isnin.

“Yang minat akan kata enam ini kelompok idealistik berprinsip. Yang tak minat akan tuduh ini degil, hipokrit dan bukan dalam satu pasukan. Terpulang pertimbangan masing-masing.

“Tapi yang pasti, semua punyai ‘roh’ bebas yang akan menyukarkan bergabung,” jelas Shahril.

Shahril berkata demikian mengulas cadangan kolumnis Tajuddin Rasdi supaya enam ahli politik ini, yang terpinggir daripada parti masing-masing, menubuhkan parti baharu bagi membawa semangat politik progresif Melayu yang mampu menyaingi naratif perkauman dan keagamaan sempit.

Mengulas lanjut, Shahril turut menambah, kumpulan tersebut tidak berkongsi pangkalan penyokong yang sama, menjadikan usaha menubuhkan parti bersama lebih rumit.

“Yang suka Rafizi tak tentu suka Khairy dan sebaliknya. Yang suka Wan Fayhsal atas semangat Melayunya, tak tentu suka Nazmi yang lebih teknokratik,” katanya.

Sementara itu, Wan Fayhsal berpendapat cadangan tersebut bukan langkah yang bijak pada waktu ini, menambah langkah itu berisiko akan memecahkan lagi undi Melayu.

“Saya fikir, kami dan semua yang kena pecat sebelum ni, masih lagi mahu berjuang dalam wadah yang kami masih lagi bersama, sama ada digantung atau dipecat. Jadi biarlah masa menentukan.

“Akan tetap tiba masanya (untuk) benar-benar menubuhkan parti baharu. Tapi buat masa ini , semua yang dinamakan ini sedang berjuang dalam medan masing-masing,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat