KUALA LUMPUR – Pergolakan di dalam Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) hari ini adalah berpunca daripada dua individu kehilangan arah selepas dipecat dan digantung Lembaga Disiplin parti kerana cuba menjatuhkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengasas bersama Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof mendedahkan parti itu kini terbahagi kepada dua kem iaitu yang hendak mempertahankan institusi Presiden mengikut ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).
Katanya, satu kem lagi kini sedang menekan supaya Muhyiddin untuk menyerahkan kuasa kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi memangku jawatan tersebut.
Bagaimanapun, jelasnya, tindakan itu sangat bahaya kepada parti kerana ia membelakangkan Perlembagaan dan ketetapan PAT iaitu badan tertinggi dalam Bersatu.
“Soal Tan Sri (Muhyiddin) berundur tidak timbul kerana pada PAT 2023, ketetapan sebulat suara apabila beliau berkata mahu berundur tetapi perwakilan menolak keputusan tersebut.
“Pada PAT tahun ini pula, sudah ada ketetapan pun untuk Tan Sri terus mengetuai parti seperti PAT 2023 dalam fasa menuju PRU16 (Pilihan Raya Umum Ke-16) dan ada usul Ketua Penerangan yang dipersetujui perwakilan untuk Tan Sri menjadi calon Perdana Menteri.
“Jadi apa masalahnya? Ketetapan PAT adalah badan paling tinggi dalam parti bahkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pun tidak boleh mengubah ketetapan itu,” lapor Utusan.
Semalam akhbar berkenaan melaporkan ramai 16 daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu dipercayai menyatakan rasa tidak puas hati dan kebimbangan terhadap kepemimpinan Muhyiddin sebagai Presiden susulan keputusan memecat dan menggantung dua wakil rakyat.
Redzuan berkata, tindakan 16 Ahli Parlimen Bersatu menandatangani memorandum kepada Muhyiddin juga disifatkan sebagai sangat biadap, namun beliau meragui keputusan sebahagian mereka menandatangani memorandum itu dibuat secara sukarela.
Katanya, tindakan menyebarkan memorandum tersebut secara umum telah menarik perhatian ramai sehingga ia mengaibkan parti.
“Apa pun yang berlaku hari ini, ada dalangnya, saya tak hendak sebut, tetapi saya cuma mahu mereka duduk semeja dan bincangkan kehendak mereka dengan Presiden,” katanya.
Beliau menasihatkan 16 Ahli Parlimen itu tidak terpengaruh dengan dua individu dikenakan tindakan disiplin iaitu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
“Untuk kedua-dua mereka ini tak ada maaf bagi mereka kerana apa yang mereka lakukan ketika ini menghancurkan parti. Singkirkan kedua-dua mereka ini, saya rasa parti akan lebih baik.
“Dia sudah melanggar etika parti dan tak puas sampai hari ini memburukkan parti. Saya nampak kedua-dua makhluk perosak ini sudah kehilangan arah dan tuan. Siapa tuan mereka, saya tak tahu,” lapor akhbar itu pada Isnin.
Redzuan berkata, beliau tidak fikir bahawa Hamzah merupakan dalang pergolakan ketika ini sambil menyifatkan Ahli Parlimen Larut itu sebagai penyokong nombor satu Muhyiddin.
“Saya tak rasa Timbalan Presiden (dalangnya), beliau penyokong nombor satu Muhyiddin, beliau bukan pengkhianat dan sudah mengakuinya di PAT (tempoh hari).
“Saya rasa ini bukan kerja Timbalan Presiden sebab hari ini kita lihat beliau tidak menandatangani memorandum tersebut,” katanya.



