KUALA LUMPUR – Perbelanjaan untuk Sabah bagi 2026, dianggarkan mencecah RM17 bilion jauh lebih tinggi berbanding anggaran hasil dikutip Kerajaan Persekutuan dari negeri itu sekitar RM10 bilion setahun.
Situasi itu, sekali gus menepis tohmahan bahawa Kerajaan Persekutuan ‘menyedut’ hasil bumi Sabah dan mengabaikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri terbabit.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican menjelaskan bahawa perbelanjaan oleh Kerajaan Persekutuan bagi Sabah sebenarnya melebihi hasil yang dikutip.
Justeru itu, tegasnya, tidak timbul isu Kerajaan Persekutuan seolah-olah menyedut keluar hasil negeri Sabah tanpa memberikan pulangan pembangunan yang setimpal, lapor BH pada Isnin.
Katanya, hasil RM10 bilion itu juga termasuk hasil petroleum lima peratus yang diperoleh Kerajaan Persekutuan susulan pengeluaran minyak di negeri itu.
Katanya, usaha meningkatkan penyertaan kontraktor Sabah dalam aktiviti minyak dan gas juga dilaksanakan, dengan pada 2024 saja kira-kira RM2 bilion nilai kerja tambahan diberikan kepada kontraktor tempatan Sabah.
Dari segi perbelanjaan, beliau berkata, Kerajaan Madani secara konsisten meningkatkan perbelanjaan kepada Sabah setiap tahun.
“Pada 2022, sebanyak RM13 bilion diperuntukkan dan jumlah itu meningkat kepada RM14 bilion pada 2023 hingga 2024, sementara dalam Belanjawan 2025 dan 2026, disediakan peruntukan sebanyak RM17 bilion.
“Peruntukan RM17 bilion itu merangkumi, antaranya perbelanjaan bagi pengoperasian sekolah, hospital, klinik dan polis. Daripada jumlah itu juga, hampir RM9 bilion adalah perbelanjaan mengurus kementerian dan agensi Persekutuan di Sabah,” katanya kepada akhbar itu.
Mengulas lanjut, Johan berkata, peruntukan RM17 bilion itu termasuk pemberian secara terus kepada Kerajaan Negeri Sabah sebanyak kira-kira RM1 bilion bagi kegunaan perbelanjaan lain.
Jumlah itu, tegasnya tidak termasuk pemberian khas Kerajaan Madani sebanyak RM600 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Beliau berkata, dalam Belanjawan 2026 juga Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan pembangunan hampir RM7 bilion atau RM6.9 bilion untuk Sabah.
Dana pembangunan itu, jelasnya, akan membiayai projek yang disenaraikan sebagai keutamaan oleh kerajaan negeri, termasuk pembinaan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II dan Projek Talian Penghantaran Southern Link.
“Selain itu, Kerajaan Madani juga telah menghidupkan semula projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sebelum ini tergendala. Projek itu saja membabitkan kos kira-kira RM14 bilion,” katanya.
RM1.3b untuk STR, SARA
Lebih penting lagi, Johan menegaskan bahawa angka perbelanjaan RM17 bilion itu tidak termasuk bantuan tunai langsung kepada rakyat.
Menurutnya, dianggarkan sebanyak RM1.3 bilion disalurkan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang terdiri daripada 840,000 orang penerima di Sabah, selain Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Sementara itu, Johan menjelaskan, subsidi bahan api masih diteruskan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) walaupun kuasa kawal selia tenaga sudah diserah kembali kepada Sabah.
Mengulas status Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Johan berkata, bayaran Pemberian Khas RM600 juta adalah peningkatan drastik berbanding kadar RM26.7 juta yang ‘pegun’ sejak 70-an dan bayaran itu masih bersifat ‘interim’ atau sementara.
Beliau berkata, rundingan masih giat berjalan di antara Putrajaya dan Kota Kinabalu untuk memuktamadkan formula baharu bagi pemberian itu, selaras Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, sememangnya Kerajaan Madani amat komited untuk memenuhi segala obligasi dalam menyelesaikan isu berkaitan MA63 dengan terbukti berjaya menyelesaikan sembilan daripada 13 isu MA63 yang dibangkitkan.
Pada masa sama, beliau menambah, Sabah juga mula menikmati hasil tambahan sejak 2022 apabila mula mengutip Cukai Jualan Negeri ke atas produk petroleum, satu langkah yang menjana hasil tambahan hampir RM2 bilion untuk tabung negeri itu.



