Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan sekerasnya tuduhan yang dilontarkan, dakwaan membabitkan Ketua Pengarah Kastam (KPK), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin telah menyalahgunakan kuasa menggunakan peruntukan kerajaan untuk bercuti di Bangkok, Thailand bersama keluarga dengan menaiki penerbangan tambang kelas perniagaan.
JKDM dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya ingin membuat penafian terhadap tohmahan dan fitnah tidak berasas yang telah ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di salah satu platform media pada 1 November lalu.
Menurutnya, KPK telah mengambil cuti selama dua hari pada 30 Oktober hingga 1 November lalu, telah diluluskan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) selaku Pegawai Pengawal JKDM melalui Sistem HRMIS, selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia – Kemudahan Cuti, Ceraian SR.5.1.1.
“KSP turut meluluskan permohonan KPK ke luar negara atas urusan peribadi mengikut Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2012, Peraturan Perjalanan Pegawai Awam ke Luar Negara atas Urusan Persendirian.
“Semasa KPK berada di Bangkok atas urusan peribadi, beliau telah mengambil peluang untuk menghadiri Kejohanan Tinju Antarabangsa bagi menyokong dan memberikan semangat kepada anggota JKDM, Adli Hafidz mewakili Malaysia yang telah memenangi kejohanan itu dan mengharumkan nama negara.
“Adalah menjadi amalan KPK untuk sering memberi sokongan yang padu serta semangat kepada warga JKDM dalam mencapai kejayaan yang cemerlang,”kata kenyataan itu di sini pada Sabtu.
“JKDM ingin menegaskan bahawa tiada sebarang peruntukan jabatan digunakan untuk membayar kos penerbangan atau penginapan atau sebarang kos lain yang berkaitan dengan perjalanan KPK dan keluarga ke Bangkok seperti yang ditohmah di platform media berkenaan.
Segala kos sepanjang lawatan peribadi tersebut ditanggung sepenuhnya oleh KPK sendiri, ”jelasnya.
“Atas penafian ini, laporan polis juga telah dibuat untuk menjaga nama baik dan imej KPK dan JKDM bagi menafikan tentang tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab itu.
“JKDM menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dan prihatin dengan membuat semakan dan pengesahan terlebih dahulu daripada sumber rasmi JKDM mengenai apa-apa maklumat yang diterima,”ujarnya. – SUARA.TV