Mat Sabu sedia disiasat SPRM terkait skandal NAFAS
KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Kata Mohamad beliau dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terbuka untuk bekerjasama bagi melengkapkan siasatan SPRM.
“Bang Mat mengalu-alukan siasatan oleh SPRM yang kini dijalankan ke atas NAFAS.
“…dan memberi jaminan KPKM akan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak SPRM untuk melengkapkan siasatan mereka,” katanya dalam catatan di Facebook pada Ahad.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas tidak akan menghalang dan masuk campur dalam siasatan terhadap NAFAS serta Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) oleh pihak berkuasa termasuk SPRM.
Untuk rekod, NAFAS kini terpalit dakwaan penglibatan kartel dalam pengedaran dan pembekalan kontrak baja padi.
Menurut Anwar, pihak berkuasa mempunyai hak untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana agensi kerajaan.
“Saya dah lama marah kepada kartel ini, kartel ini maknanya apa? Kelompok kecil jaga dia (sesama mereka) bukan jaga rakyat.
“Siapa sahaja tanpa terkecuali, kalau ada kes, SPRM masuk. Kalau kes jenayah, PDRM (akan) masuk, tak kira dia jabatan apa, pangkat apa, syarikat kerajaan ka atau syarikat swasta.
“NAFAS betul bebas tetapi di bawah pengawasan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan” katanya.
Anwar juga menegaskan beliau tidak akan menghalang sebarang bentuk siasatan melibatkan Khazanah Nasional Bhd.
Katanya, meskipun beliau mempengerusikan Khazanah, beliau tidak akan menghentikan sebarang siasatan berkaitan kes lalu atau sekarang.
“Ada saja laporan, sama ada Perdana Menteri pengerusi ataupun tidak.
“Kalau salah siasat, kalau salah dakwa, kalau salah hukum, saya tidak peduli. Baru kita boleh perintah dengan adil,” katanya.