KUALA LUMPUR – Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang menerima peruntukan program dan kajian berjumlah RM5.067 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) masih belum boleh dinilai pencapaian objektifnya.

Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 1 menyatakan, pengurusan projek dan program adalah kurang cekap kerana berlaku kelemahan yang ketara dalam aspek pengurusan kewangan, pengurusan tanah, pengurusan perolehan dan pematuhan spesifikasi dan kualiti.

Selain itu juga, dilaporkan pengumpulan maklumat data pelaburan dan peluang pekerjaan NCER yang tidak lengkap menyukarkan pemantauan dan pengesyoran standard, garis panduan, amalan terbaik, proses serta tatacara pentadbiran yang seragam dalam memudahkan NCER.

Antara penemuan utama Audit yang perlu diberikan perhatian ialah – 11 kontrak bagi projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh kontrak asal. Sebanyak 27 pelanjutan masa (EOT) telah dikeluarkan bagi kontrak tersebut melibatkan tempoh antara 28 sehingga 818 hari.

“Pelaksanaan Projek Perlis Inland Port (PIP) belum dimulakan dan berlaku kelewatan 1,095 hari.

“Perbelanjaan keseluruhan RMK-11 melebihi peruntukan berjumlah RM78.58 juta.

“Perbelanjaan melebihi RM175.32 juta berbanding peruntukan yang disalurkan bagi lima projek, satu program dan satu kajian

“Peruntukan yang disalurkan melebihi kos projek bagi program entrepreneurNCER berjumlah RM0.11 juta,” lapornya.

Susulan itu, Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid mengemukakan saran supaya
Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mengambil tindakan seperti memastikan blueprint NCER mendokumenkan perancangan strategik yang komprehensif meliputi projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan NCIA bagi pihak Persekutuan sebagai panduan untuk hala tuju serta pelaksanaan projek.

“Selain itu, NCIA perlu memastikan penetapan sasaran pelaburan dan peluang pekerjaan di peringkat negeri dan mengikut sektor diwujudkan dalam Blueprint NCER bagi memudahkan pemantauan pencapaian.

“Pastikan pengurusan kewangan projek dan program dilaksanakan mengikut peraturan kewangan, dokumen kewangan sentiasa diurus dengan terperinci dan disenggara dengan baik serta memberi gambaran sebenar peruntukan yang telah dibelanjakan,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengenal pasti dan menyenarai projek-projek yang telah diluluskan tetapi masih belum dilaksanakan dalam tempoh dua tahun untuk disemak semula kebolehlaksanaannya bagi mengelakkan peningkatan kos dan memastikan kecacatan pembinaan dibaiki dengan segera agar operasi projek tidak terjejas.