Projek Musang King Bukan Punca Berlaku Banjir Di Baling – Sanusi

- Advertisement -

BALING – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tetap yakin bahawa projek tanaman Musang King di puncak Gunung Inas tidak menjadi punca kepada berlakunya tragedi kepala air dan banjir lumpur di sekitar Kupang, pada 4 Julai lalu.

Beliau berkata, dapatan itu diperkuatkan lagi dengan laporan dikemukakan pakar-pakar daripada pelbagai agensi yang digerakkan untuk menyiasat punca kejadian yang diketuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

“Kalau ikut pakar-pakar yang mengemukakan laporan kepada agensi yang diketuai oleh KeTSA, tidak sebab Musang King. Kolam Musang King tak pecah, jadi, itu usikan-usikan daripada netizen dan orang ramai dengan fakta yang tidak benar.

“Semua nak tala (menuding) ke situ, kesian kat dia, benda itu tak dapat dipastikan lagi. Menteri kata, kemungkinan, ayat awal dia istilah kemungkinan, tetapi, tak ada siapa peduli tentang perkataan kemungkinan, semua ambil selepas ayat kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah tapak rumah ganti untuk mangsa tragedi kepala air dan banjir lumpur Kampung Iboi di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Kampung Sadek, Kupang di sini.

Pada 7 Julai lalu, Muhammad Sanusi berkata, tiada kolam takungan air di atas Gunung Inas bagi projek tanaman Musang King pecah yang dikatakan penyebab kepada tragedi di Sungai Kupang.

Katanya, ia berdasarkan tinjauan udara yang dilakukan oleh beliau sendiri bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendapati takungan dibina di kawasan tanaman berkenaan masih ada dan takungan tempat pengumpulan air untuk dipam masuk ke kolam itu juga masih wujud.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mengajak semua untuk berdoa agar banjir dan kejadian tidak diingini berlaku di negeri ini terutama di Baling selepas tiga kejadian berlaku dalam tempoh sebulan.

“(Untuk langkah) jangka pendek, berdoa kepada Allah Taala supaya tidak menurunkan banjir di Baling ini, kalau jangka pendeklah, semua ni Allah bagi, kita tak tahu nak agak nak buat lagu (macam) mana. Negeri maju pun tak boleh buat kan.

(Tetapi) kita ada banyak yang diumumkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) hari itu. Projek-projek tebatan banjir di Baling berpuluh-puluh juta. Ada yang lebih RM160 juta,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan, sebanyak 12 buah rumah akan dibina bagi menggantikan rumah yang rosak keseluruhan dan tidak dapat diduduki berdasarkan syor oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Baling dalam tempoh enam bulan.

“Rumah yang akan dibina adalah rumah sesebuah dengan kemudahan tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur yang dibangunkan atas tanah seluas 0.8 hektar di tapak tanah kerajaan bersebelahan Desa Keda, Kampung Sadek, Kupang,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat