KPISM Kecewa Tindakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tengking Pegawai Imigresen

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) hari ini melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan seorang pegawai tertinggi awam kerajaan berjawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang sedang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

KPISM yang mewakili 14,000 orang pegawai Imigresen di seluruh negara menerusi satu kenyataan media berkata, kejadian itu berlaku pada 3 Ogos 2022 antara jam 8.40 pagi hingga 9.40 pagi di Balai Berlepas, KLIA.

“Insiden bermula apabila tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP KLIA. Sememangnya pegawai Imigresen tidak ditempatkan di kaunter bilik VIP secara 24 jam kerana keperluan pegawai bertugas di kaunter biasa lebih memerlukan berbanding kaunter bilik VIP yang hanya akan dibuka apabila ada keperluan dan mendapat pemakluman awal.

“Pegawai ini yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen KLIA telah dipanggil dan ditengking, diherdik dan diminta supaya berdiri tegak di tengah khalayak ramai oleh KPPA.

“Tindakan yang tidak profesional oleh seorang pegawai tertinggi kerajaan ini dengan kata-kata yang dilepaskan dalam nada menengking di hadapan orang ramai dan kakitangan Imigresen lain yang sedang bertugas merupakan satu sikap biadap serta tidak menghormati entiti perkhidmatan awam itu sendiri.

“Pegawai Imigresen lain yang berada di tempat kejadian turut merasa terhina di khalayak ramai atas tindakan KPPA tersebut,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, KPISM berkata sikap KPPA yang mahukan layanan VVIP juga menunjukkan sifat pentingkan diri dan tidak cakna dengan kesusahan rakyat dan orang awam lain yang sabar beratur dan menunggu giliran dalam melepasi pemeriksaan di kaunter biasa yang lain.

“Pegawai yang ditengking serta diperlakukan sedemikian rupa adalah merupakan seorang pegawai yang cekap, berhemah dan sentiasa responsif dengan sebarang situasi di tempat kerja.

“Pegawai ini bertugas dengan penuh dedikasi dalam memastikan urusan keluar masuk dan operasi pemeriksaan penumpang di KLIA berjalan dengan lancar. Kejadian ini amat mengguris hati pegawai Imigresen lain keseluruhannya,” katanya.

Justeru itu, KPISM menggesa kepada kerajaan dan CUEPACS agar memandang serius perkara ini dan satu tindakan perlu diambil kepada penjawat awam yang sombong serta angkuh seperti ini.

“KPISM juga menyokong penuh segala tindakan yang akan diambil oleh Ketua Pengarah Imigresen Malaysia dalam perkara ini demi memartabatkan maruah pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia.

“Seharusnya seorang pegawai tertinggi perkhidmatan awam perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik dan positif kepada penjawat awam yang lain serta kepada rakyat keseluruhannya,” kata KPISM.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat