M Nasir lepas gian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Berdurasi 90 minit dengan dendangan lebih sepuluh lagu hit yang mengiringi perjalanan seninya selama lebih empat dekad, Konsert Satu Hari Di Hari Raya dijayakan Datuk M Nasir di ibu negara, baru-baru ini, membuktikan ‘otai’ masih berbisa.

Walaupun bukan konsert berskala mega yang pernah dipentaskan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), tiga tahun lalu, persembahan sempena Aidilfitri itu cukup mengubat rindu peminat.

Tiga tahun tidak beraksi di pentas sambil disaksikan penonton, situasi itu sudah cukup membuatkan penyanyi yang digelar sifu ini menggunakan ruang yang diberi untuk ‘lepas geram’.

Membuka tirai persembahan, M Nasir yang tampil mengenakan baju potongan kurta rona coklat berpadu suara dengan salah seorang penyanyi latar membawakan lagu Halaman Asmara dan Raya Sedondon, sebelum aksi diteruskan dengan dengan lagu Salam Dunia.

Meneruskan persembahan, M Nasir memilih lagu yang jarang dinyanyikan dalam persembahan seperti Melawan Arus, Di Jalan Sesak dan diikuti lagu Hijab Kekasih yang berjaya membuai emosi penonton dengan keasyikan melodinya.

Lebih menyentuh perasaan penonton adalah bunyi tiupan seruling Mohar yang mengiringi persembahan penyanyi kelahiran Kota Singa itu.

Puas melayan jiwa, M Nasir yang menginjak usia 64 tahun menghangatkan dewan dengan lagu berirama rancak yang mampu membuat penonton bergoyang.

Tidak puas beraksi di pentas, M Nasir turun dan menyanyi di celah meja penonton. Peluang keemasan itu tidak dilepaskan apabila ramai yang mengambil kesempatan merakamkan foto bersamanya.

Walaupun tangan erat menggenggam mikrofon dan mulut kumat-kamit mendendangkan lagu Bonda, permintaan penonton ditunaikan Nasir dengan rasa senang hati.

 

M Nasir memilih lagu yang jarang dinyanyikan dalam persembahan seperti Melawan Arus, Di Jalan Sesak dan diikuti lagu Hijab Kekasih yang berjaya membuai emosi penonton. – NSTP/Hazreen Mohamad

 

Walaupun serius, sempat seniman ini bergurau dengan mengatakan penonton lebih cepat ‘panas’ berbanding dirinya selepas melihat kebanyakan mereka cukup bertenaga, biarpun ada yang sudah mencecah separuh abad atau sebaya dengannya.

Melihat penonton mula naik ‘sheikh’, pemegang watak Hang Tuah dalam filem Puteri Gunung Ledang (PGL) The Movie ini tidak menunggu lama apabila menyeru semua penonton menuju ke hadapan pentas untuk berhibur bersamanya.

Tanpa perlu menunggu lama, sekejap sahaja penonton mula memenuhi ruang di hadapan sambil menunggu arahan yang diberi.

“Saya hendak anda semua menari di hadapan saya. Buat dua barisan dan cari pasangan masing-masing. Mari kita menyanyi dan berjoget bersama-sama,” katanya sebelum mendendangkan lagu Raikan Cinta dan Ada.

Apabila ‘lesen’ sudah diberi, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL) bertukar menjadi pentas joget lambak untuk penonton.

Tepat jam 11 malam, M Nasir menutup persembahan dengan lagu Satu Hari Di Hari Raya yang menjadi judul konsert berkenaan.

Konsert dianjurkan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) bersama rakan kongsi, Roman Abdi Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd.

Sebahagian hasil kutipan Konsert Satu Hari Di Hari Raya diagihkan kepada penggiat seni yang kurang bernasib baik termasuk mereka yang terkesan impak penularan pandemik COVID-19.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat