KUALA LUMPUR – Polis tidak menerima sebarang laporan terhadap Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berhubung gambarnya menghunus pedang yang dimuat naik ke Facebook, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Ti Lian Ker mengapa Adun Merlimau itu belum disiasat kerana menghasut.
Razarudin berkata, mengikut prosedur standard, polis hanya akan memulakan siasatan jika ada laporan dibuat, lapor FMT.
Pada 14 Mac lalu, Akmal memuat naik gambarnya menghunus pedang yang diambil semasa lawatannya ke Jepun baru-baru ini dengan catatan: “Walau apapun yang menimpa, kami tidak akan berganjak dengan pendirian kami. Biar mati berdiri daripada hidup melutut.”
Lian Ker kemudian bertanya mengapa Akmal tidak disiasat atau diberikan amaran, sementara veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang disoal siasat hanya kerana “menterjemah Perlembagaan”.
Disember lalu, Bukit Aman mengesahkan akan mengambil keterangan Kit Siang sebagai respons terhadap komennya di blognya berhubung kemungkinan bukan Melayu menjadi perdana menteri.
Selain Lian Ker, peguam dan aktivis, Siti Kasim juga membuat gesaan sama.