KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini dianggap suspek dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram disiasat agensi itu dan bukan lagi sebagai saksi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, ini susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah ‘safehouse’ susulan serbuan dilakukan pihaknya.
Justeru, beliau berkata antara tindakan dilakukan SPRM terhadap bekas Perdana Menteri kesembilan itu ketika ini adalah meminta beliau melakukan perincian harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM.
“Penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta dalam ‘safehouse’ berkenaan mengesahkan Ahli Parlimen Bera sebagai seorang suspek.
“Dalam hal ini saya boleh katakan beliau adalah suspek kes ini, kerana beliau sudah diminta memperincikan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM (pengisytiharan harta).
“(Yang) kedua apabila penemuan wang ini dan beliau antara yang dikaitkan, maka kita perlu mendapatkan penjelasan daripadanya mengenai penemuan wang itu,” katanya lapor BH di Putrajaya pada Isnin.
Pada Ahad, SPRM mengesahkan telah merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen dianggar bernilai RM7 juta.
Ia berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
Rampasan dilakukan ketika penggeledahan di sebuah kediaman dan tiga buah premis yang dipercayai dijadikan sebagai ‘safehouse’.
SPRM memberitahu, sebelum itu pada 11 Disember lalu, Ismail Sabri diarah mengisytiharkan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 dan ia telah dilakukan Ismail Sabri secara rasmi pada 10 Februari lalu.
Siasatan itu menurut SPRM adalah tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika beliau menerajui negara.