‘Epik fantasi’ nukilan ramayan

- Advertisement -

HAMPIR empat tahun bertapa menyepikan diri, kumpulan Neo-Psikedelik Malaya, Ramayan akhirnya tampil bersama album penuh baharu yang bertemakan ‘epik fantasi’ berjudul Di Persiaran Cakrawala.

Album ini mengandungi 10 lagu dengan atmosfera dan ‘mood’ yang bervariasi, di mana golongan pendengar dibawa ke sebuah pengembaraan emosi dan pengalaman ‘sonic’ yang berbeza dengan album terdahulu.

Kumpulan dianggotai Syafie M Nasir sebagai vokal, pemain gitar dan pemain keyboard, Omar Saifuddin (bass) dan Que Azeem (dram) ini menampilkan lagu single Lamunan Anak Bulan yang dinobatkan sebagai pemenang ‘TAPAU Awards’ dalam kategori Lagu Terbaik, pada Disember tahun lalu.

Syafie berkata, mereka mengambil masa dua tahun dalam produksi pembuatan yang turut menampilkan pemuzik berkaliber dari Indonesia, Mondo Gascaro selaku penerbit bersama.

“Dia meluangkan masa selama sebulan di Malaysia untuk bekerjasama dalam proses rakaman album ini.

“Album yang dirakamkan di studio Ronggeng, Luncai Emas ini menggunakan teknik rakaman ‘track-by-track’ dan kebanyakannya menggunakan barangan muzik ‘vintage’ untuk mendapatkan kualiti dan nuansa rakaman seperti zaman 1970-an.

“Kami pilih Lamunan Anak Bulan sebagai single kerana kami percaya bahawa lagu ini adalah mukadimah yang terbaik untuk memperkenalkan orang ramai kepada muzik kami, terutamanya album Ramayan yang baharu ini,” katanya.

Menurutnya album ini dikeluarkan ketika negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan orang ramai pula dalam keadaan murung.

“Disebabkan itu, kami rasa lagu Lamunan Anak Bulan ini dapat menaikkan semula semangat pendengar yang masih merenung nasib masing-masing.

“Sebahagian besar kenapa album kami mengambil masa dua tahun produksi adalah kerana proses pengadunan bunyinya yang sering diulang-ulang dan diperbetulkan.

“Susah untuk kami sebagai kumpulan untuk berpuas hati dengan apa yang dihasilkan. Adakalanya sudah puas hati, tapi apabila didengari semula selepas beberapa hari, diperbetulkan lagi,” katanya.

Menurutnya, mereka inginkan agar album ini menjadi sebuah album yang menyerlah dari segi nilai komersial dan juga nilai kritikal dan tidak kisah meluangkan masa lebih lama dalam produksi.

Bunyian untuk album Di Persiaran Cakrawala pula terinspirasi dari muzik pada masa lalu terutama daripada artis seperti The Beatles, Todd Rundgren, ABBA, David Bowie dan artis legenda Nusantara seperti Sweet Charity, Kembara dan Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

“Kekuatan album ini adalah pada sebuah konsep yang lengkap ‘berpakej’, di mana muziknya adalah selari dengan visual yang dilihat pada rekabentuk kulit album serta fesyen yang diperagakan mempengaruhi tema retro-futuristik,” katanya lagi.

Omar pula berkata, konsep album Di Persiaran Cakrawala simboliknya mengisahkan mengenai pengembaraan ke arah kedewasaan secara personal dan sebagai kumpulan Ramayan dalam menghasilkan album terbabit secara amnya.

“Seperti proses pembelajaran dari segi penulisan lagu, lirik dan emosi/’feel’. Sumbangan idea daripada setiap ahli kumpulan dan kendalian kerja di sebalik lagu seperti bahagian teknikal ‘mixing’ dan ‘mastering’ (post-production).

“Keseluruhannya, album ini menampilkan pelbagai aspek baharu yang dicuba oleh Ramayan untuk merakam lagu-lagu seperti penggunaan kaedah track-by-track, penambahan efek bunyi latar (sound samples), penghasilan bunyi vintaj yang unik (penggunaan instrumen lama dengan teknologi yang baharu seperti plug-ins) dan bekerja bersama seorang penerbit dari Indonesia,” katanya.

Lagu-lagu dalam album ini dihasilkan sepenuhnya oleh mereka.

Ia juga menampilkan banyak kolaborasi bersama pelbagai pihak seperti penerbit Mondo Gascaro, pengarah seni (Irfan Aljufri), penata seni (Muntasir Mohamed), penata busana (Dhani Illiani) dan fotografi (Alif Ridzuan).

Sementara itu Que mengakui teruja bekerjasama dengan Mondo Gascaro yang berjaya mengetengahkan muzik Noh Salleh dalam produksi single Angin Kencang.

“Selain itu kami sudah lama meminati kumpulan Mondo Gascaro, iaitu SORE. Kami berharap dengan adanya dia dalam pembikinan album ini, ia boleh membuka ruang pasaran kami ke Indonesia.

“Untuk album ini, semua lagu yang dimuatkan adalah ‘killer song’ dan memang ada kekuatan tersendiri. Peminat wajib membelinya untuk mendengar kualiti yang berbeza dari platform lain,” katanya.

Terdahulu, Ramayan berjaya melebarkan sayapnya dan membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa menerusi ‘mini tour’ dan persembahan di festival luar negara seperti di Jakarta, Indonesia dan Seoul, Korea Selatan.

Ramayan juga dipilih untuk menjadi kumpulan pembukaan buat kugiran terkenal dari Australia, ‘The Temper Trap’ pada 2017 dan berkongsi pentas bersama-sama pemuzik unggul dari Indonesia seperti kugiran Barasuara dan Matajiwa (Anda Perdana) .

Oleh itu, tumpuan dan sasaran album kali ini bukan sahaja ditumpukan pada pendengar tempatan sahaja, malah sudah diluaskan kepada golongan pendengar di luar negara, terutama di negara-negara terbabit.

Dengan pertaruhan muzik yang lebih berkualiti kali ini, Ramayan berharap sekali lagi stesen TV dan radio tempatan tidak memilih bulu untuk mengetengahkan bunyian baharu Malaysia supaya industri lebih terbuka, meriah dan bervariasi setaraf muzik antarabangsa.

Ia bertujuan supaya terhapus sempadan antara genre ‘indie’ dan ‘mainstream’ atau arus perdana. Justeru, hasrat Ramayan kepada peminat adalah supaya seni dan muzik mereka terus dapat dihargai, difahami dan dihayati seterusnya dikongsi seluas yang boleh.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat