Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin
Kes Anak Menteri KDN: Saifuddin Wajar “Bercuti” & Hak Wanita Di Dalam Malaysia Madani.
3 Februari 2025: Beberapa minggu yang lalu negara kita dikejutkan dengan pendedahan seorang wanita muda yang telah menuduh anak lelaki kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah merogol, menghamilkan dan melakukan kekerasan terhadap diri beliau.
Pada 31 Januari 2025 pula, seorang aktivis politik Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard) telah dipanggil oleh pihak PDRM dan disiasat di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana telah mengkritik tindakan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan ke atas laporan yang dibuat ke atas anak Menteri KDN tersebut.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Chegu Bard adalah satu menifestasi kegusaran masyarakat umum terhadap ketelusan sebuah jabatan (PDRM) di bawah Kementerian Dalam Negeri yang menyiasat satu tuduhan yang berat terhadap anak kepada menteri yang “berkuasa” terhadap kementerian tersebut.
Sungguhpun pada Tarikh 11 Januari 2025, Menteri KDN telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa beliau tidak akan campur tangan dengan siasatan PDRM, perkara ini mendatangkan satu perasaan sebal di hati kita rakyat Malaysia yang amat meragui ketelusan siasatan yang akan dilaksanakan oleh PDRM.
Sewajarnya, sebagai “pendokong” utama agenda Reformasi di bawah Kerajaan Madani yang diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia, adalah lebih baik sekiranya Menteri KDN “bercuti” terlebih dahulu bagi membolehkan siasatan yang lebih menyeluruh dan terperinci dilaksanakan oleh PDRM tanpa sebarang perasaan gentar atau takut.
Saya jangka, sekiranya Menteri KDN dapat mengundurkan diri buat sementara waktu daripada terus mentadbir Kementerian Dalam Negeri sehingga kes ini selesai, ia bukan sahaja dapat meningkatkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kerajaan tetapi juga dapat memberikan keadilan yang sewajarnya kepada pengadu/mangsa.
HAK WANITA DI DALAM KERAJAAN MADANI
Selain itu, melalui kontroversi ini terdapat isu yang lebih besar untuk dibincangkan, iaitu hak mangsa keganasan seksual khususnya dari kalangan wanita yang tidak boleh dianggap remeh oleh mana-mana pihak.
Mangsa serangan seksual di kalangan wanita bukan sahaja hidup dengan keadaan trauma akibat daripada perbuatan jenayah tersebut, tetapi juga terpaksa berhadapan dengan stigma dan prejudis segelintir masyarakat di Malaysia yang sering menyalahkan mangsa (victim blaming).
Secara umum, sekiranya pihak berkuasa juga menggunakan alasan seperti kononnya “mangsa sudah berkahwin dengan pelaku”, ini dengan menidakkan hak seorang wanita terhadap tubuh badannya sendiri.
Di Malaysia, sekiranya sesuatu jenayah itu berlaku, pihak PDRM akan melakukan siasatan dan pertuduhan dibuat oleh Pejabat Peguam Negara. Kes tersebut seterusnya akan dibawa ke Mahkamah, yang mana Hakim yang akan menentukan sama ada berlaku atau tidak jenayah tersebut setelah mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak.
Di dalam kes yang diadukan oleh pengadu/mangsa terhadap anak menteri tersebut, perkara ini belum lagi berlaku, tetapi pihak berkuasa seolah-olah sudah bersedia dengan alasan yang dilihat amat dismissive kepada aduan pengadu/mangsa.
Ini jelas bertentangan dengan implementasi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang telah ditandatangani oleh Malaysia pada tahun 1995 yang melarang segala bentuk kekerasan atau keganasan dilakukan terhadap golongan wanita di negara ini.
Perkara ini juga bercanggah dengan konsep Negara Rahmah, Malaysia Madani dan juga keluarga Sakinah yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama beliau bergiat aktif dalam politik dan kepimpinan di Malaysia.
Sebagai sebuah kerajaan yang dikatakan membawa agenda progresif, sewajarnya pihak berkuasa juga mempunyai iltizam dan aspirasi yang sama agar hak wanita yang dapat dipertahankan dan nasib golongan wanita di negara ini terus terbela.
Jangan kerana hanya ingin mempertahankan anak-anak orang ternama, kita terus mengenepikan perkara benar dan tercari-cari alasan untuk menutup aib individu tertentu yang mungkin telah melakukan sesuatu jenayah berat yang tertentangan dengan undang-undang negara ini.
Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin
Pengerusi Projek 66.6
& Mantan Ahli Parlimen Ampang
Projek 66.6 adalah sebuah inisiatif bagi mempercepatkan keupayaan untuk mendapat tempat 30 peratus wanita dalam kepimpinan. Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Projek 66.6 adalah mengadakan kursus-kursus kepimpinan, aktiviti kemasyarakatan dan latihan khidmat sosial bagi bakal-bakal pemimpin dari kalangan wanita di pelbagai peringkat.