Dua jawatan tertinggi wajar dipertanding, ramai pemimpin kanan PKR layak cabar Rafizi – Hassan Karim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim membangkit pertikai kewajaran dua jawatan tertinggi PKR kemungkinan tidak dicabar pada pemilihan parti itu, Mei depan.

Hassan yang juga pemimpin PKR Johor berkata PKR adalah parti yang demokratik, justeru biarlah proses menentukan dua jawatan tertinggi itu dicabar atau ditandingi berlaku secara semula jadi yang ditentukan ahli parti.

Lebih menimbulkan persoalan kepada beliau apabila jawatan Timbalan Presiden yang disandang Datuk Seri Rafizi Ramli juga dicadangkan untuk tidak dicabar.

Tegasnya, beliau yakin PKR mempunyai ramai pemimpin kanan yang layak mencabar jawatan nombor dua parti.

“Pucuk pimpinan PKR perlu yakin atas kebijaksanaan ahli parti. Jika mereka menilai jawatan presiden sekarang yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar tidak dicabar, jadi kita terimalah itu hakikat politik sebenar mengenai kekuatan dan pengaruh Anwar sebagai presiden parti.

“Bagaimanapun, mengapa jawatan nombor dua juga tidak wajar dicabar? Ramai pemimpin kanan layak mencabar Rafizi.

“Mengapa perlu dihalang? Biarkan seribu kuntum bunga berkembang di halaman PKR.

“Jangan disekat pertandingan jawatan nombor dua. Kalau nak lawan presiden pun okey, silakan,” katanya.

Semalam, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, berkata PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung Mei ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, berkata cadangan itu berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini, antaranya untuk memastikan dalaman parti itu lebih tenang dan melancarkan khidmat kepada rakyat berikutan pilihan raya hanya berbaki kira-kira dua tahun lagi.

Dalam pemilihan PKR pada 2022, Anwar menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden, manakala Rafizi menang jawatan timbalan presiden selepas menewaskan Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hassan juga menggesa supaya tidak ada seruan, arahan atau usul secara langsung atau tidak langsung, yang tersirat atau tersurat, bertujuan supaya dua jawatan tertinggi itu tidak ditandingi atau dicabar.

“Tidak perlu Setiausaha Politik Perdana Menteri menzahirkan penyataan bahawa dua jawatan itu tidak dicabar,” katanya lapor BH.

Sementara itu, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman, berkata proses demokrasi dalam PKR tidak harus disekat, sebaliknya perlu dirai dengan membuka ruang kepada semua anggota untuk memilih dan dipilih.

Aktivis PKR itu, berkata Anwar memerlukan barisan kepemimpinan yang lebih dinamik dalam memperkukuh agenda rakyat demi memastikan parti itu terus kekal relevan dalam dunia politik.

“Pemilihan parti adalah proses untuk menilai semula prestasi setiap pimpinan yang diberikan tanggungjawab, yang memberi ruang kepada anggota untuk menukar pemimpin yang lemah mahu pun mengekalkan mereka yang berupaya.

“Jika seorang pemimpin itu dilihat sebagai berprestasi baik dan berupaya, tentunya akar umbi akan memilih untuk mengekalkan posisi atau sebaliknya.

“Justeru, setiap pimpinan tidak perlu gentar untuk melalui proses pemilihan. Demokrasi itu bising, sementara senyap bererti tidak berani melakukan perubahan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat