KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan bahawa Parlimen bukannya tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah.
Sebaliknya baginda bertitah Dewan Rakyat adalah tempat membahaskan agenda kepentingan rakyat serta kemakmuran negara.
Sultan Ibrahim bertitah Ahli-Ahli Yang Berhormat (YB) perlu menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya agen perpecahan rakyat.
“Justeru, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja.
“Saya perhatikan dalam persidangan Parlimen tahun lalu, Ahli-Ahli Dewan banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah diucapkan kepada semua,” titah Seri Paduka Baginda.
Namun begitu, Seri Paduka Baginda menegaskan masih ada segelintir Ahli-Ahli Dewan yang sukar untuk membuang tabiat lama.
“Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk itu kerana saya percaya setiap Ahli Dewan sedar dan tahu bagaimana untuk menjaga tingkah-laku masing-masing,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan di atas peranan yang dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ianya telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi serta sosial negara.