Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Bekas Pegawai Daerah Kuala Muda, Dato’ Hj. Abdul Gafar Yahya dilantik menggalas tugas sebagai Datuk Bandar Alor Setar ke-8 akan memfokuskan kepada tiga perkara iaitu adaptasi, kolaborasi dan inovasi untuk kemajuan Bandaraya Alor Setar.
Abdul Gafar,54, dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Dato’ Hj. Mohd Yusri Md Daud yang telah bersara wajib pada 30 Januari lalu.
Lafaz dan angkat sumpah jawatan itu telah disempurnakan oleh Abdul Gafar, di hadapan Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Nasrankamil Noh di Dewan Mesyuarat, Aras 5, UTC Alor Setar, dekat sini pada Ahad.
Turut menyaksikan, Pegawai Daerah Kota Setar, Dato’ Hakim Ariff Md Noor; Pegawai Daerah Pokok Sena, Mohamad Rizal Mohamad Radzi;
Ketua Whip Ahli Majlis MBAS, Mohd Azizi Abdullah; Ahli Majlis MBAS, Dato’ Chng Boon Chye; Pengarah Jabatan dan Ketua-ketua Bahagian MBAS.
Dalam ucapannya, Abdul Gafar
bersedia untuk berkhidmat dan menggembleng tenaga bagi memastikan segala keperluan penduduk Alor Setar dapat dipenuhi dan dijaga dengan baik.
Menurutnya, Bandaraya ini akan berwajah baharu dengan tiga fokus tersebut dengan mencipta perkara-perkara baharu bagi meningkatkan keupayaan MBAS untuk dinikmati oleh semua penduduk di sini.
Menurutnya lagi, MBAS sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bukan sahaja melaksanakan apa yang terdapat di dalam akta, enakmen dan peraturan kecil, sebenarnya stakeholder itu sendiri iaitu penduduk di Bandaraya ini perlu diberi penekanan.
“MBAS akan lebih kerap ‘turun padang’ dan bersedia untuk berkolaborasi dengan semua pihak bagi memupuk perpaduan dan meningkatkan kebersihan dan kemudahan awam serta mengatasi masalah banjir kilat sepertimana yang telah dititahkan oleh Tuanku Sultan Kedah.
“Memandangkan tahun ini merupakan Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025), MBAS akan terus berkolaborasi dengan pihak pelancongan, e-hailing, hotel-hotel dan sebagainya bagi menghidupkan pelaksanaan ‘Mai Singgah Alor Setar’
“Kita tidak mahu pelaksanaan aktiviti hanya pelengkap kepada kalendar tahunan MBAS, keberkesanannya amatlah penting bagi memberi faedah dan manfaat kepada masyarakat di Bandaraya ini terutamanya peniaga kecil agar dapat merasai kenikmatan bersama,” katanya.
“Terima kasih kepada kepimpinan kerajaan negeri atas pemilihan dan pelantikan ini dan saya akan cuba menyesuaikan dengan semua lapisan masyarakat.
“Bagi memenuhi harapan dan keperluan rakyat di daerah ini, ia memerlukan perbelanjaan yang besar dan sumber hasil kewangan yang kukuh.
“Saya memberi jaminan bahawa setiap hasil yang diperolehi daripada hasil cukai akan dikembalikan kepada mereka dalam bentuk memenuhi keperluan yang diharapkan penduduk Alor Setar,” katanya lagi.
“MBAS akan mengetengahkan lagu ‘Bandaraya Alor Setar’ sebagai sebuah lagu yang akan dinyanyikan di sekolah-sekolah dalam Bandaraya ini.
“Lagu ini mempunyai lirik tentang perpaduan, kebersihan, penjagaan alam sekitar dan sebagainya secara tidak langsung selain menuntut ilmu, mereka dapat mengadaptasi lirik dalam lagu tersebut.
“Saya berharap lagu ini akan dinyanyikan selepas nyanyian lagu Negaraku dan Allah Selamat Sultan dan diakhiri dengan lagu sekolah masing-masing, ”tambahnya.
Abdul Gafar dilahirkan pada 18 Mac 1971 di Kg. Kelubi Luar, Jitra berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (Sastera) merupakan penerima Ampun Kurnia Dermasiswa Peribadi Almarhum KDYMM Sultan Abdul Halim Muadzam Shah semasa belajar di Universiti Malaya (UM).
Sebelum menyertai Pegawai Tadbir Negeri Kedah (Kedah Civil Service @KCS) pada 1 Mac 1998, beliau berkhidmat di peringkat kementerian kerajaan persekutuan dan hal ehwal parlimen hampir 4 tahun serta pernah bertugas sebagai Pegawai Khas Kementerian Penerangan pada 1995 dan Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK) kepada Menteri Pendidikan.
Selain itu, di peringkat negeri beliau berpengalaman luas dalam pelbagai pentadbiran sekretariat, daerah, tanah, PBT dan sumber manusia.
Antaranya, Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar Kedah (2015); Pemangku Pegawai Daerah Kulim pada September 2019; Timbalan Pengarah Pejabat Tanah & Galian (Pembangunan) pada Mei 2020 – Disember 2021; Pegawai Daerah Langkawi (Januari 2022 – Oktober 2023 ); Pegawai Daerah Baling (November 2023 – Mei 2024 ) dan Pegawai Daerah Kuala Muda (Jun 2024 -Januari 2025).
Beliau terlibat bersama deligasi luar negara @ by leteral meeting kerajaan @ misi pelaburan dengan negara luar seperti negara Asean, Mesir, Arab Saudi, Eropah dan Rusia serta pernah menguruskan pelajar Kedah di Mesir, Jordan dan Indonesia serta menghadiri Persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris.
Beliau turut aktif dalam penglibatan luar, seperti Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC); Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Baling; dan Penasihat Persatuan Suri & Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Cawangan Kecil Baling; Yang Dipertua PIBG SK Hosba.
Selain itu, Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah; bekas Presiden Persatuan KCS (2022 – 2024); dan Ahli Jawatankuasa Masjid Bani Hashim, Napoh, Jitra.
Dalam pada itu, MBAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Mohd Yusri atas segala jasa, dedikasi, dan sumbangan bakti beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Mohd Yusri memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah pada 1 April 1991 dan dilantik sebagai Datuk Bandar Alor Setar pada 1 November 2022.
“Segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan beliau akan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang dan sepanjang kepimpinannya,”ujarnya.
“Pelbagai kejayaan dan pengiktirafan telah diraih bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di peringkat antarabangsa dalam menjadikan MBAS antara PBT terbaik.
“Antaranya, Anugerah lima bintang bagi Sistem Penarafan Bintang PBT, Anugerah Bandar Mampan, dan Anugerah Penerima Asean Standards Clean Tourist City 2024-2026, ”ujarnya lagi.-SUARA.TV