Khairy saman Lokman Adam, Abu Syafiq fitnah isu vaksinasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menegaskan penerbitan fitnah mengenai vaksin COVID-19 bertentangan dengan kepentingan awam kerana ia mengganggu usaha beliau dan semua yang terbabit dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta kerajaan dalam perjuangan menentang wabak itu.

Beliau berkata, selain menyebarkan berita dan maklumat palsu berkaitan vaksinasi dan dos penggalak, ia juga menjejaskan tindak balas masyarakat terhadap pandemik dan menjejaskan data serta fakta rasmi yang diberikan KKM kepada orang ramai.

Khairy menegaskan demikian dalam tuntutan saman yang difailkan terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan pendakwah bebas, Abu Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd Rasyik Mohd Alwi, kerana mendakwa kedua-dua defendan itu menerbitkan kenyataan dan video yang memfitnahnya berkaitan vaksin COVID-19.

Khairy berkata, penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integritinya terjejas teruk dan mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional.

“Ia menyebabkan reputasi saya direndahkan dalam anggaran ahli masyarakat yang berfikiran waras.

“Selain itu, ia menyebabkan saya dibawa kepada skandal awam, kebencian dan penghinaan dan dalam apa jua keadaan, memprejudiskan saya dengan teruk,” katanya memetik BH.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff pada hari ini menetapkan pada 17 Februari ini bagi mendengar permohonan injunksi kedua belah pihak (inter parte).

Dalam permohonan injunksi menerusi saman itu, Khairy memohon perintah supaya kedua-dua defendan memadamkan kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen daripada platform sosial media masing-masing dalam tempoh 24 jam dan perintah menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran berkenaan.

Khairy selaku plaintif, memfailkan dua saman itu secara berasingan atas kapasiti peribadi pada 25 Januari lalu dengan menamakan Lokman dan Mohd Rasyiq sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khairy berkata, Lokman memfitnahnya melalui dua video dan memuat naik gambar di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 6 Januari lalu serta membuat kenyataan melalui dua siaran langsung di Facebook dan Youtube ‘Lokman Adam’ pada 10 Januari.

Khairy berkata, Mohd Rasyiq pula memfitnahnya dengan membuat empat kenyataan fitnah, menyiarkan tiga video serta satu gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober tahun lalu dan 6 serta 10 Januari lalu.

Khairy berkata, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa sudah diberi vaksin COVID-19 dan sudah menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.

Selain memohon injunksi, Khairy menuntut antaranya kedua-dua defendan membayar ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan dan teruk serta permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat