China kini diserang virus hMPV, nafas bunyi seperti wisel

- Advertisement -

BEIJING – Selepas lebih lima tahun kes pertama Covid-19 dilaporkan di China, negara Asia Timur itu kini berdepan ancaman satu lagi virus menyerang sistem pernafasan iaitu metapneumovirus (hMPV) yang semakin menular.

Di tengah-tengah lonjakan kes sejak pertengahan Disember, pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia bertindak memberi amaran tentang wabak tersebut dan menekankan tentang langkah penjagaan kebersihan.

Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan (CDC) di Beijing turut menetapkan protokol untuk pelaporan makmal dan pengesahan kes bagi meredakan kebimbangan orang ramai.

“Data pada 16 hingga 22 Disember menunjukkan peningkatan jangkitan pernafasan akut termasuk hMPV terutamanya di wilayah utara China. Kes baru-baru ini kebanyakannya melibatkan golongan berusia di bawah 14 tahun,” lapor Reuters.

Sementara itu, stesen penyiar CCTV mengesahkan jangkitan pernafasan yang menyerang pada musim sejuk kali ini berpunca daripada virus influenza selain hMPV sebagai penyumbang utama kes.

Pada akhir bulan lalu, pihak berkuasa kawalan penyakit di Beijing turut merintis sistem pemantauan untuk masalah radang paru-paru tidak diketahui asal usulnya setelah peningkatan luar biasa kes sepanjang musim sejuk.

Antara gejala penyakit itu ialah batuk, demam, hidung tersumbat dan nafas berbunyi seperti wisel.

Bagi kes yang teruk, pesakit boleh mengalami bronkitis atau radang paru-paru terutamanya dalam kalangan bayi, warga emas dan golongan yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Selain itu, golongan yang menghidap asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) atau emfisema iaitu keadaan pundi udara dalam paru-paru mengembang sehingga individu sukar untuk bernafas adalah yang paling berisiko tinggi.

“Virus tersebut menular melalui titisan atau aerosol disebabkan batuk atau bersin dan kontak rapat atau terdedah kepada persekitaran yang tercemar.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat