KUALA LUMPUR –Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta pihak berkaitan supaya memahami dan menerima titah Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi banduan.
Anwar berkata titah Sultan Ibrahim perlu dibaca dan difahami sebelum apa-apa kenyataan dibuat.
“Kena baca kena hadam dan terima titah Tuanku,” katanya selepas mengadakan lawatan Lestari Niaga@KL 2 di Pusat Penjaja Seksyen 10, Wangsa Maju, pada Jumaat.
Anwar berkata demikian ketika mengulas mana-mana banduan yang hendak diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.
Ditanya sama ada titah berkenaan ada kaitan dengan perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Isnin ini Anwar berkata “Ya kena baca, kena baca”.
Istana Negara dalam kenyataan ini memaklumkan kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan kepada peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Melalui kenyataan sama, Istana Negara berkata Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan terbabit.
Melalui kenyataan sama, Istana Negara berkata, Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan terbabit.
Dalam pada itu, Istana Negara memaklumkan kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub di bawah ini Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Seri Paduka.
Isu pengampunan banduan mencetus perdebatan susulan kes membabitkan Datuk Seri Najib Razak, terutama dalam soal berkaitan Titah Adendum untuk membolehkan bekas Perdana Menteri itu menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui kenyataan sebelum ini berkata, Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukuman tahanan di rumah.
Pejabat Peguam Negara berkata, keputusan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong akan dibuat berdasarkan tatacara dan saluran sudah ditetapkan mengikut undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.