KUALA LUMPUR – Himpunan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan yang dirancang Isnin ini di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya, mungkin berhadapan tindakan undang-undang dari pihak berkuasa negara.
Walaupun tidak mengeluarkan sebarang perintah larangan, namun Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengeluarkan kenyataan sebentar tadi mengingatkan rakyat agar menghormati titah perintah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung dan mengelakkan menghadiri sebarang perhimpunan yang dilihat bertentangan dengannya.
UMNO, MCA, MIC, PAS dan NGO Muafakat Nasional telah mengeluar kenyataan menggesa orang ramai hadir ke himpunan tersebut sebagai menyatakan bantahan terhadap apa yang mereka dakwa kerajaan menyembunyi Titah Addendum Di Raja yang dibuat oleh Al-Sultan Abdullah pada 29 Januari 2024 bagi memberi kelegaan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Menurut kenyataan tiga para itu, Razarudin menyatakan, “Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menjunjung hormat dan menyusul titah kenyataan Ke Bawah Duli Yang maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogratif Yang Di-Pertuan Agong seperti mana termaktub dalam perkata 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan yang jelas memandu semmua pihak yang berhasrat untuk mendapatkan pengampunan perlu mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan dan bukannya melalui perhimpunan atau apa jua saluran yang tidak mengikut undang-undang.
“Demi menghormati titah kenyataan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan menjaga keselamatan serta ketenteraman awam, PDRM menggesa supaya orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak.
Justeru, semua rakyat digesa untuk sentiasa mendukung prinsip rukun negara khususnya kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan yang merupakan pancang kepada kemakmuran dan keharmonian negara.”
Istana Negara dalam kenyataan pada Jumaat, 3 Januari 2025 memaklumkan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut.-SUARATV