KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin tampil memperbetul persepsi negatif yang dilempar terhadap Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang kononnya cuba berdakwah mengajak orang lain menganut agama Kristian.
Tze Tzin berkata sepanjang 15 tahun persahabatannya dengan Hannah, tidak pernah sekali pun Ahli Parlimen Segambut itu cuba berceramah tentang agama Kristian kepadanya ataupun menjemput beliau untuk menyertai gerejanya.
Sebaliknya, wakil rakyat PKR itu berkata beliau masih lagi seorang Buddha meskipun sudah membaca buku yang ditulis Hannah yang berjudul “Becoming Hannah: A Personal Journey”.
“Baru-baru ini Hannah Yeoh diserang oleh orang fanatik kerana bukunya. Mereka menuduhnya menggunakan bukunya untuk menukar orang menjadi Kristian.
Serius?
“Hannah kawan saya selama 15 tahun. Kami bertemu di Parlimen dan kadang-kadang kami pergi untuk makan tengah hari. Tidak sekali, dan saya ulangi tidak sekali pun dia cuba berdakwah agama Kristian atau menjemput saya untuk menyertai gerejanya.
“Dia seorang Kristian yang taat. Sebagai Hannah, dia hanya menjalankan kerja dan kewajipannya dengan jujur dan menjalani kehidupan sebagai seorang Kristian yang baik. Dia hanya menyimpan imannya ke dalam dirinya.
“Ramai orang Islam yang baik yang saya kenali adalah ikhlas, jujur dan menjalani kehidupana sebagai Muslim yang baik. Hannah juga seperti mereka.
“Bagi saya, orang Islam yang baik, Kristian yang baik, Buddha yang baik, Hindu yang baik adalah orang yang hebat di Malaysia. Kepercayaan mereka membuka jalan kepada sistem nilai negara kita yang kukuh,” ujar Tze Tzin dalam catatan di Facebooknya pada Jumaat.
Mengulas lanjut, kata beliau lagi beberapa tahun yang lalu Hannah memberikan beliau bukunya.
” Saya membacanya. Saya masih beragama Buddha.
“Saya suka lagu Krismas, saya memainkan lagu Krismas berulang kali. Saya mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada rakan-rakan. Saya masih beragama Buddha.
“Rakan-rakan Muslim saya semuanya adalah orang yang kuat beriman. Mereka percaya kepada agama mereka sama seperti Hannah dan saya. Jadi, percayalah pada iman anda.
“Bagi golongan taksub di luar sana, jangan bermain politik untuk mewujudkan perpecahan. Rakyat boleh melihat melalui motif palsu dan jelek anda,” tegur beliau.