Malaysia Tewaskan Singapura 4-1, Layak Separuh Akhir Piala AFF 2022

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala AFF 2022 dengan bergaya apabila membenam Singapura 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Skuad Harimau Malaya yang perlu menang untuk mara ke peringkat empat terbaik jelas tidak menghampakan lebih 65,000 penyokong setianya yang hadir dengan mempamerkan persembahan bertenaga dan menghiburkan.

Empat kali stadium dengan kapasiti 87,411 itu gempita dengan sorakan penyokong yang bagaikan guruh apabila empat kali gawang Singapura bergoncang dek angkara anak buah Kim Pan Gon.

Sebaik wisel permulaan dibunyikan, Malaysia jelas begitu rakus menyerang bagaikan harimau kelaparan, namun benteng Singapura yang diperkukuh dengan lima pertahanan begitu cekap membendung Malaysia daripada mencari ‘lubang’ merobek gawang mereka.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gawang lawan, Hassan Sunny yang begitu sibuk sepanjang babak pertama apabila memastikan skuad Harimau Malaya tidak kenduri gol dengan beberapa kali menafikan peluang negara untuk membuka jaringan.

Selepas beberapa kali dipaksa ‘menadah’ percubaan Malaysia, penjaga gol veteran itu dijinakkan pada minit ke-36 apabila tandukan Darren Lok yang menyudahkan hantaran lintang Safawi Rasid menggegar jaringnya.

Belum sempat Singapura mencatur gerakan selepas rehat, mereka bagaikan sesak nafas apabila dibedil dengan rembatan jarak jauh Stuart Wilkin minit ke-50, sebelum pemain terus menyeksa penyokong Singapura yang bertandang dengan gol ketiga buat negara empat minit berselang.

Skuad Kota Singa menghidupkan sedikit sisa perjuangan menerusi jaringan Faris Ramli pada minit ke-83 sebelum penjaga gawang negara, Ahmad Syihan Hazmi terpaksa ‘terbang’ untuk menepis percubaan Amy Recha seminit berselang.

Bagaimanapun, jaringan pembukaan Singapura itu hanya sekadar sagu hati apabila Malaysia kembali berkelebihan tiga gol selepas penyudah kemas pemain gantian, Sergio Aguero menewaskan Hassan buat kali keempat pada minit ke-86.

Selaku naib juara Kumpulan B, Malaysia akan berdepan juara Kumpulan A yang juga ‘raja ASEAN’ enam kali, Thailand pada peringkat separuh akhir secara timbal balik di Stadium Nasional, Sabtu ini dan di Bangkok, 10 Januari.

Vietnam yang menjuarai Kumpulan B pula menempah pertemuan separuh akhir dengan naib juara Kumpulan A yang juga naib juara Piala AFF sebanyak enam kali, Indonesia pada Jumaat ini dan Isnin. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat