Rafizi Akan Usahakan Rakyat Dapat Gaji Boleh Imbangi Tekanan Inflasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Kerajaan Perpaduan ini bertanggungjawab mengalih haluan ekonomi ke arah ekonomi bernilai tinggi supaya rakyat mendapat gaji yang boleh mengimbangi tekanan inflasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Rafizi Ramli berkata, usaha mengekang inflasi kebanyakannya boleh dilaksanakan di peringkat pembekal seperti mempercepatkan pelaburan berteknologi tinggi dalam sektor makanan, mengawal harga dengan membayar subsidi, meningkatkan persaingan pembekal dengan menangani monopoli dan menambah bekalan termasuk mengimport.

“Tetapi usaha di sebelah pembekal ini perlu juga diiringi dengan inisiatif di sebelah penawaran, termasuklah mengusahakan kenaikan gaji yang munasabah supaya rakyat tidak merasa terlalu terbeban dengan kadar inflasi semasa dan menggalakkan tabiat pengguna (consumer behaviour) yang lebih sensitif kepada harga agar permintaan adalah lebih anjal,” katanya dalam kenyataan sempena sebulan menggalas amanah sebagai Menteri Ekonomi.

Jelas Rafizi lagi, masa sebulan telah memberi beliau gambaran yang mencukupi untuk berlari dengan lebih pantas mulai Januari ini.

“Ada yang kesannya dapat dirasai segera, ada yang hasilnya hanya dapat dituai dalam setahun, dua tahun dan tahun-tahun yang akan datang.

“Insyaallah, kalau sepuluh kami usahakan, kalau pun tidak semua membuahkan 100 peratus hasil seperti yang dirancang, sebahagian besarnya akan mempunyai impak jangka masa sederhana dan panjang kepada negara.

“Selepas 5 tahun, Insyaallah saya serahkan kepada penilaian rakyat mengenai prestasi saya sebagai Menteri dan PKR/PH sebagai sebahagian dari Kerajaan Perpaduan,”ujar beliau.

Sementara itu kata Rafizi lagi,pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) akan terus mempertikai setiap usaha kerajaan.

“Malah ada dari kalangan mereka yang memperli konon saya hanya nampak gah semasa pembangkang tetapi tidak berkesan sebagai kerajaan.

“Insyaallah itu satu cabaran yang saya akan sahut. Cuma bila komen begitu datang dari mereka yang menjadi kerajaan setelah menebuk atap selama 33 bulan, bunyinya nampak seperti meludah ke langit.

“Soal keperluan menganjak ekonomi negara ke arah ekonomi digital berteraskan inovasi, ekonomi yang seimbang dengan kelestarian alam sekitar, aplikasi teknologi yang meningkatkan produktiviti dan kecekapan – ini semua matlamat ekonomi yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya.

Tegas Rafizi, ujian sebenar kepada beliau ialah bagaimana beliau berjaya melaksanakan anjakan-anjakan ini yang kesannya dapat dirasai oleh rakyat.

“Setelah sebulan, ada idea dan pendekatan baru yang saya rasakan akan beri nilai pulang lebih baik bagi setiap satu ringgit wang rakyat yang dibelanjakan kerajaan.

“Ada masalah pelaksanaan yang merencatkan prestasi ekonomi dan menyebabkan kenaikan kos yang boleh ditangani. Ada projek-projek berimpak tinggi yang akan memberi isyarat anjakan ekonomi yang diperlukan untuk menarik minat pelabur-pelabur,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, kata Rafizi sepanjang sebulan ini beliau tidak banyak muat naik kandungan kerja seharian kerana beliau faham kesan perencanaan ekonomi banyaknya akan mengambil masa yang lebih panjang sebelum hasilnya dirasai, apatah lagi dalam suasana ekonomi global yang mencabar dan kedudukan kewangan negara yang dilemahkan oleh ketempangan tadbir urus sebelum ini.

“Ada perkara yang boleh diusahakan supaya hasilnya dirasai cepat, namun kebanyakan perencanaan ekonomi akan mengambil masa lebih setahun, sementara sebahagian besarnya memakan lebih masa.

“Sebab itu masa sebulan saya habiskan berjumpa dan berbincang dengan pemegang taruh (stakeholders) utama ekonomi negara. Mereka termasuklah pembuat dasar, pelaksana, pihak swasta dan pemegang taruh lain.

“Secara umumnya, kesemua pihak memahami hala tuju ekonomi yang hendak dibawa,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat